IPOH: Seorang remaja lelaki maut setelah motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu terlanggar pembahagi jalan di hadapan stesen minyak Shell Menglembu, Jalan Lahat pada tengah malam Rabu.
Mangsa, Cheong Chun Kit, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda, merupakan seorang pekerja swasta yang berasal dari Mengelembu di sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang sedang dalam perjalanan dari Ipoh ke Bukit Merah / Lahat kira-kira jam 12 tengah malam, terbabas ke bahu jalan lalu terlanggar pembahagi sebelah kiri jalan.
"Hasil impak pelanggaran tersebut mangsa telah maut di tempat kejadian," katanya kepada pemberita.
Sum berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi tujuan bedah siasat dan kes akan disiasat secara lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.