IPOH: Kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membongkar rampasan terbesar bernilai RM114 juta membabitkan dua pegawai kanan sebuah agensi di Sabah baru-baru ini menunjukkan mutu kerja agensi terbabit.
Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, C Sivarraajh berkata, di bawah Ketua Pesuruhjaya baharunya, Datuk Dzulkifli Ahmad, sasaran SPRM kini bukan sahaja terhad kepada `ikan kecil’ tetapi juga `jerung besar’.
Menurut beliau, ia juga sekaligus membuktikan bahawa tuduhan pemimpin DAP, Lim Kit Siang yang sebelum ini menyelar SPRM hanya mensasarkan tindakan ke atas pegawai berpangkat rendah dalam sesebuah organisasi.
"Dzulkifli dan pasukannya telah menampakkan ketelusan mereka sejak mengambil alih SPRM pada 1 Ogos lepas dengan mematahkan percubaan semua pegawai atasan yang terlibat dalam rasuah.
"Apa yang berlaku semalam (5 Oktober) merupakan satu tindakan yang cukup mengejutkan dan perlu dijadikan pengajaran," katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Khamis.
Sivarraajh berkata, pendedahan aktiviti penyelewengan bernilai RM114 juta itu merupakan satu bukti untuk menafikan kenyataan para pengkritik SPRM sebelum ini.
Menurut beliau, rampasan itu juga membuktikan kualiti kerja Dzulkifli dalam memastikan pasukannya di SPRM dapat bertindak dengan penuh dedikasi dan amanah.
"Rampasan terbesar ini merupakan contoh terbaik kerja berpasukan SPRM di bawah teraju Dzulkifli yang sentiasa dinamik dan proaktif di dalam mengejar mereka yang terlibat dalam rasuah," tambahnya.