top of page
muinsapidin

Pemandu Dan Kalendan Lori Ditahan Positif Dadah Dalam Ops Bersepadu

TELUK INTAN: Dua lelaki, masing-masing seorang pemandu dan kalendan lori, ditahan kerana positif dadah dalam Ops Bersepadu sekatan jalan raya di Kilometer 12, Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang di sini pada Khamis.

.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Wan Hassan Wan Ahmad yang mengetuai operasi itu berkata, kedua-dua suspek berumur 23 dan 42 tahun itu ditahan selepas ujian saringan urin mendapati mereka positif dadah jenis ganja.

Menurut beliau sebanyak 82 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam dua operasi tersebut yang diadakan serentak di lokasi berasingan iaitu satu lagi dilakukan di kilometer 13, Jalan Changkat Jong di sini.

Katanya, dalam operasi selama tiga jam itu yang bermula 8.30 pagi, pelbagai kesalahan pengguna jalan raya direkodkan antara kesalahan dilakukan termasuk tidak memiliki lesen memandu, tiada cukai jalan, tamat tempoh cukai jalan dan mengubah suai kenderaan.

“Antara lain operasi ini dilakukan, kita mahu mewujudkan kehadiran polis dan lain-lain jabatan kepada pengguna jalan raya," katanya kepada pemberita ketika operasi berkenaan di sini.

Operasi bersepadu di dua lokasi itu melibatkan lebih 50 anggota dan pegawai polis Hilir Perak, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hilir Perak.

Dalam pada itu, Wan Hassan memberitahu, kadar kemalangan maut di Hilir Perak meningkat 18 peratus pada tahun ini iaitu 66 kes sehingga hari ini, berbanding 56 kes dicatatkan bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

"Dari segi kematian pula mencatatkan peningkatan 25 peratus iaitu 74 kes sehingga Oktober tahun ini berbanding 59 kematian dicatatkan bagi tempoh yang sama," ujarnya.

Sementara itu Penolong Pegawai Anti Dadah AADK Hilir Perak, Mohd Fauzan Ezwan Jaafar berkata, dua lelaki positif dadah itu masing-masing merupakan pemandu lori dan kelindan.

Menurut beliau, kedua-dua mereka yang merupakan penduduk setempat ditahan berasingan dan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.


25 views0 comments
bottom of page