top of page
muinsapidin

Lebih Banyak Rumah Murah Bakal Dibina Dibawah LPHP

PARIT BUNTAR - Kerajaan Perak terus melipat gandakan usaha memenuhi keperluan perumahan rakyat di negeri ini dengan pelancaran Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), satu lagi organisasi bertanggungjawab melaksanakan projek perumahan awam bagi golongan kurang berkemampuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata LPHP berperanan untuk saling melengkapi agensi-agensi berkaitan perumahan di peringkat kerajaan negeri dan pusat sedia ada bagi memastikan sasaran kerajaan negeri untuk membina rumah mampu milik dapat direalisasikan.

Menurutnya, dengan penubuhan LPHP, agensi itu mensasarkan membina 1,200 unit rumah kos rendah dan sederhana dalam tempoh terdekat di beberapa kawasan seluruh Perak.

Kata beliau projek perumahan LPHP akan menfokuskan kepada penyediaan dua jenis rumah iaitu Rumah PPR Amanjaya I dengan keluasaan binaan 750 kaki persegi yang akan dijual pada harga RM42,000 seunit.

Manakala Rumah PPR Amanjaya II yang berkeluasaan 850 kaki persegi dengan harga RM70,000 seunit, katanya.

“Kerajaan negeri telah meluluskan berapa tanah di kawasan strategik dalam dan luar bandar di seluruh negeri. Pembinaannya akan dilaksanakan secepat mungkin bermula tahun ini sehingga tahun depan.

Matlamat kita bukan sahaja menyediakan rumah yang murah buat golongan kurang berkemampuan, tetapi lebih penting menyediakan rumah yang selesa untuk didiami,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan LPHP dan penyerahan surat tawaran Program Perumahan Rakyat Amanjaya Parit Haji Wahab di Parit Buntar, tengah hari tadi.

Menteri Besar berkata rumah PPR yang dibina LPHP merupakan tambahan kepada skim dan projek rumah mampu milik yang diusahakan Yayasan Bina Upaya, Majlis Agama Islam Perak, Jabatan Perumahan Negara dan Syarikat Perumahan Negara.

“Kita juga menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat swasta dalam usaha ini. Maka kerajaan negeri tidak ada masalah untuk menawarkan pengurangan bayaran premium tanah dan pengecualian caj pembangunan kepada pemaju yang berminat untuk membina rumah kos rendah.

Kita tahu pemaju swasta agak sukar melaksanakan projek rumah kos rendah kerana ia tidak mendatangkan keuntungan. Jadi kita tidak mahu bebankan pemaju,” katanya.


72 views0 comments
bottom of page