Projek Perumahan Awam di Parit Haji Wahab, Parit Buntar yang terbengkalai lebih empat tahun lamanya akhirnya siap berikutan langkah yang diambil kerajaan negeri memulihkannya.
Projek bernilai RM14 juta itu merupakan satu daripada dua projek PPR ‘sakit’ di negeri ini yang tertangguh sejak 2012 selain satu lagi di Teluk Intan yang mengalami nasib sama.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata hasil daripada komitmen kerajaan negeri yang mahu melihat penerima memiliki rumah seperti yang dijanjikan, projek PPR Parit Haji Wahab akhirnya siap sepenuhnya.
Projek PPR ini melibatkan 100 unit rumah kos rendah yang dijual pada harga RM42,000.
Dengan siapnya projek itu, seramai 100 keluarga yang rata-rata merupakan golongan pesawah, pekerja kilang dan kakitangan awam kerajaan pangkat rendah sekitar Parit Buntar menerima surat tawaran menduduki daripada Menteri Besar dalam satu majlis tengahari Khamis.
Tanah bagi PPR ini diluluskan pada 2007 tetapi hanya lima tahun kemudian pada 20012 kita dapat laksanakan. Namun di tengah-tengah jalan, timbul pula masalah lain dan ia tertangguh lagi,” katanya.
Langkah menyelamatkan projek sakit sakit ini menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menambah peruntukan beberapa juta ringgit daripada kos asal bagi memastikan projek ini siap.
Kerajaan negeri komited untuk selesaikan demi kepentingan rakyat meskipun nilai keseluruhan projek sebenarnya melebihi kos jualan, Alhamdullilah hari ini ianya boleh diduduki.
Selama ini orang mungkin menuduh kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa tetapi mereka tidak tahu bagaimana kita bersusah payah untuk menyelamatkan projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran perumahan tersebut di Parit Buntar pada Khamis.
Pekerja kilang Abdul Aziz Hamsin, 34, melahirkan rasa syukur kerana akhirnya dapat memiliki rumah sendiri.
Bapa kepada lima orang anak yang masih kecil itu berkata sebelum ini dia dan isteri menumpang di rumah ibubapa di Kampung Kuala Kurau.
“Sangat teruja kerana impian untuk memiliki rumah sendiri termakbul. Setelah 12 tahun berkahwin, inilah rumah pertama kami,” katanya.
Beliau juga gembira kerana lokasi rumah baru itu tidak jauh daripada rumah orang tuanya dan tempatnya bekerja iaitu kilang tisu Premier.
“Saya tak sabar nak pindah dan mulakan hidup baru. Perjalanan ke tempat kerja juga tidaklah begitu jauh lebih kurang setengah jam,” katanya.
yang merupakan pekerja kilang di kawasan tersebut ternyata gembira hasrat untuk memiliki rumah pertamanya akhirnya tercapai.
“Sebelum ini saya memang tak mampu nak beli rumah disebabkan pendapatan saya yang rendah dan terpaksa duduk di rumah pusaka peninggalan keluarga.
“Sekarang saya memang amat bersyukur akhirnya saya dapat memiliki rumah saya sendiri walaupun perlu menunggu beberapa tahun,” ujarnya.
Bagi pasangan muda Hairulnizam Musa, 35 dan Rozita Abdullah, 32 pula menyifatkan rumah tersebut umpama hadiah untuk keluarga mereka.
Hairulnizam yang merupakan Penyelia Stor Kilang Tisu berkata, beliau tidak sabar untuk merasakan pengalaman berpindah ke rumah baru.
“Syukur sangat dapat memiliki rumah walaupun terpaksa tunggu agak lama. Walaupun lama tetapi berbaloi kerana rumah ini selesa dengan tiga bilik,” katanya yang mempunyai tiga anak berumur 10, enam dan tiga tahun.
Isterinya, Rozita Abdullah gembira kerana hasrat anaknya perempuannya untuk memiliki bilik sendiri dapat dipenuhi
“Sebelum ini kami tinggal di rumah mak, jadi ruang itu kurang. Anak-anak tidur mana sempat…kadang-kadang di ruang tamu tetapi alhamdullilah sekarang lebih selesa. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana dapat menyiapkan projek ini,” katanya guru taska itu.
PPR tersebut di bina atas tanah seluas 11.87 ekar dan terbahagi kepada dua bahagian iaitu Lot 3241 dan Lot 3242.
Pembinaan setiap unit rumah termasuk keluasan binaan 850 kaki persegi yang mengandungi ruang tamu, ruang makan, dapur, tiga bilik tidur dan dua tandas itu berharga RM42,000 seunit.