TELUK INTAN: Seorang juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) cedera parah akibat melecur selepas pencawang elektrik kawasan premis perniagaan berhampiran Kolej Komuniti Bagan Datoh di Hutan Melintang dekat sini, meletup ketika sedang diselenggara, tengah hari Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.18 tengah hari itu, mangsa berusia 34 tahun sedang melakukan kerjanya sebelum berlaku letupan dan magsa dilihat keluar dari bilik berkenaan dalam keadaan tubuhnya terbakar.
Beberapa kakitangan TNB yang berada di situ kemudian bertindak menyelamatkan mangsa sebelum dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk rawatan lanjut.
Ketua Jurutera negeri Bahagian Pembahagian TNB, Raja Abd Jalil Raja Zaid, mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan terperinci mengenai punca sebenar kejadian sedang dijalankan.