IPOH: Isu pelajar ponteng sekolah merupakan salah satu punca utama berlakunya gejala sosial yang tidak sihat di kalangan komuniti setempat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh (Operasi), Superintendan Abdul Rani Alias berkata, pelajar yang ponteng lebih cenderung untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti tidak bermoral, seperti menghidu gam.
Beliau berpendapat, semua itu mungkin berpunca daripada sifat memberontak pelajar yang merasakan pergi ke sekolah hanyalah membuang masa.
Sehubungan itu, kata beliau, sekiranya pihak polis menjumpai mana-mana pelajar yang ponteng, mereka akan memanggil ibubapa pelajar berkenaan dan pihak sekolah.
"Kaedah sama digunakan untuk mereka yang terlibat dalam menghisap gam, kita akan libatkan semua pihak berwajib," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menjalankan aktiviti High Profile Community Policing di sekitar Ashby Road dan Angsana Mall pada Khamis.
Menurutnya, kebanyakan pelajar yang ponteng sekolah di sekitar kawasan perumahan Flat Ashby adalah merupakan pelajar di SMK Anderson dan SK Cator Avenue.
Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan penduduk di dalam Taman Kepayang yang mempunyai 612 unit kediaman dan Flat Ashby (408 unit) ialah sekitar 4,000 orang.
"Rugilah, sekolah dah dekat tetapi pelajar dan ibubapa ramai yang tidak beri kerjasama untuk menangani masalah sosial ini secara bersepadu," katanya kesal.
Dalam pada itu, Abdul Rani turut memaklumkan bahawa terdapat beberapa kes curi motosikal yang berlaku dalam tempoh enam bulan dan mengesyaki ia membabitkan kawasan sekitar flat berkenaan.
"Kita menjumpai 20 buah rangka motosikal di sekitar kawasan ini, namun tidak dapat melaksanakan sebarang tindakan kerana tiada sebarang laporan dibuat, malah rangka dibiarkan jadi tempat air bertakung,” katanya sambil memberitahu, penduduk telah menanam rangka tersebut kerana khuatir boleh menjadi punca demam denggi.
Beliau meminta kerjasama orang ramai, khususnya penduduk setempat, untuk memberikan maklumat sekiranya terdapat sebarang perlakuan mencurigakan di kawasan berkenaan kepada pihak polis.