top of page
muinsapidin

Penduduk Ditepi Pantai Dinasihat Bersedia Hadapi Air Pasang Besar Lebih Awal

IPOH: Penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pantai dinasihatkan supaya bersiap sedia untuk berpindah kerana fenomena air pasang besar dijangka berlaku pada 15 Oktober, lebih awal daripada yang diramalkan sebelum ini.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA Malaysia), Datuk Zaitun Ab Samad berkata, menurut ramalan awal, fenomena air pasang besar itu dijangka berlaku pada 19 Oktober dan November ini.

Sehubungan itu, kata beliau, sebagai langkah sementara, beg-beg pasir akan diletakkan di lokasi yang telah dikenalpasti, terutama di kawasan ban-ban lama yang menghadapi pemendapan.

Menurut beliau, langkah itu adalah bertujuan untuk mengurangkan limpahan air memasuki kawasan penduduk kampung di samping mencegah kemusnahan harta benda, termasuk tanaman dan ternakan.

“Pasukan dari NADMA dan pasukan-pasukan teknikal telah mengenalpasti di mana yang perlu kita letakkan beg-beg pasir ini dan kita akan adakan satu usahasama dengan NGO.

“Masyarakat juga perlu dibabitkan sama dalam kerja-kerja ini dan pihak Jawatankuasa Teknikal akan memberi panduan kepada mereka untuk meletakkan beg-beg pasir ini secara bertindan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Penutup Forum Kesiapsiagaan Agensi Menghadapi Bencana dan Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2016 Peringkat Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Zaitun memberitahu, negeri Perak tidak terlibat dengan kaedah penggunaan beg-beg pasir itu, sebaliknya ia hanya melibatkan negeri-negeri Selangor dan Kedah.

“Di Perak, penduduk yang terlibat dengan fenomena ini di kawasan Bagan Datoh dan Pantai Remis dinasihati bersiap sedia untuk berpindah lebih awal ke pusat pemindahan yang ditetapkan,’’ ujarnya.

Menurut beliau, kaedah penanaman pokok bakau merupakan langkah berkesan bagi menangani fenomena air pasang besar bagi jangka masa panjang, namun ia memerlukan kos yang tinggi.

“Perkara itu akan dibincangkan di pihak atasan dan buat sementara ini, kita menggunakan kaedah penggunaan beg-beg pasir sebagai langkah jangka masa pendek,’’ katanya.


76 views0 comments
bottom of page