IPOH: Seorang pemilik kedai telekomunikasi mengaku bersalah di Mahkamad Sesyen di sini pada Rabu, atas lapan pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dari Mei hingga Disember tahun lalu.
Tertuduh Wong Kean Yik, 35, pemilik kedai yang menjalankan perniagaan sebagai ejen stokis Digi, penjual alat telekomnikasi dan tambah nilai Telco di Gopeng itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Murtazadi Amran.
Mengikut pertuduhan, Kean Yik selaku pemilik syarikat Sun Yi Telecommunication Trading didakwa gagal mengemukakan penyata GST dalam tempoh ditetapkan selama lapan bulan sejak 1 Mei hingga 31 Disember 2015.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu di stesen Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, No 1, Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41 (6) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 19 Oktober ini sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman.
Pertuduhan dikendalikan Penolong Pengarah Kastam Cawangan Pendakwaan Bahagian Penguatkuasaan Ipoh, S. Morgan manakala tertuduh tidak wakili peguam.