SERI ISKANDAR- Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, Asisten Superitendan Abdul Malek Ismail dilantik sebagai Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah itu, berkuatkuasa hari ini (Rabu).
Beliau menggantikan Deputi Superitendan Leong Ah Kow, anak kelahiran Kuala Kangsar, yang bersara secara wajib selepas tempoh perkhidmatannya selama 40 tahun.
Majlis serah terima tugas antara kedua-dua mereka berlangsung di Bilik Mesyuarat IPD Perak Tengah, di sini pada Rabu.
Ah Kow yang menyertai PDRM pada 1976, memulakan perkhidmatan sebagai Konstabel di Pasukan Polis Hutan selama lima tahun sebelum diserapkan kepada Pasukan Gerakan Am pada pertengahan 1980.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Ah Kow mengucapkan terima kasih kepada PDRM kerana telah memberikannya kepercayaan untuk membantu menerajui pasukan polis di IPD Perak Tengah selama ini.
Menurut beliau, kenangan dan pencapaian sepanjang berkhidmat bersama PDRM tidak akan dilupakan, terutama dalam menangani ancaman komunis dalam Ops Bambu di sepanjang sempadan Perak dan Kelantan sekitar tahun 1970an.
"Saya masih ingat pada waktu itu, satu pasukan platun dianggotai 36 pegawai dan anggota telah dikerahkan untuk masuk ke kawasan musuh dan satu-satunya arahan ialah "search and destroy" mana-mana kelibat komunis dan satu kejadian tidak diingini telah berlaku.
"Bekalan makanan kami yang sepatutnya dihantar oleh logistikTLDM mengalami kerosakan.
“Bayangkanlah, selama seminggu, seramai 36 orang terpaksa mencari ikhtiar sendiri menggunakan saki-baki makanan yang ada dan sumber hutan seperti daun, buah-buahan dan bubur, berkongsi untuk meneruskan kehidupan.
"Itu adalah kali pertama saya menggunakan kemahiran "life survival" di tahap maksimum dan perkara paling penting ialah saya memperolehi sebuah keluarga yang wujud dari setiakawan, disiplin dan kerjasama - itulah pegangan saya sehingga hari ini," katanya.
Bapa tunggal kepada tiga orang anak yang itu boleh berbangga kerana anak-anaknya berjaya dalam pelajaran, seorang telah menjadi doktor, yang kedua menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) Kejuruteraan Elektrikal di UM dan ketiga ijazah Kejuruteraan Kimia di UTP.
Beliau mengakui, bukan mudah untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang bapa dan ibu dalam membesarkan mereka selepas kematian isterinya pada tahun 2008.
“Tambahan pula, sebagai pegawai polis, saya sentiasa sibuk dan terpaksa membahagikan masa secara bijak kerana ketika isteri meninggal dunia akibat kanser, anak bongsu kami baru berusia 11 tahun dan saya harus memastikan dia dapat mengharunginya," ceritanya.
Sepanjang memulakan kariernya di PDRM sejak berusia 20 tahun, Ah Kow pernah menyandang jawatan Pegawai Turus Logistik dan Komunikasi Kontinjen Pahang sebelum ditugaskan sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah pada 2012.
Terdahulu, ketibaan Abdul Malek sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah dan DSP Leong sekitar pukul 7.50 pagi disambut dengan sederhana oleh seluruh kontinjen pasukan IPD Perak Tengah.