BOTA: Lima penagih yang begitu asyik layan gian terperanjat apabila rumah sewa dekat Bota Kiri yang dijadikan sarang penagihan diserbu pihak polis dalam satu operasi pada Selasa.
Dalam serbuan sekitar 5 petang itu, sekumpulan pegawai dan anggota telah menyerbu sebuah unit rumah yang dipercayai merupakan sarang golongan penagih hasil maklumat orang ramai.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Perak Tengah, ASP M.D Suresh berkata kesemua lelaki tempatan itu berusia di antara 26 hingga 55 tahun dan sebahagian daripadanya merupakan pekerja buruh kasar.
"Kesemua mereka sedang khayal ketika diserbu pihak polis dan ada juga yang cuba melarikan diri namun gagal.
"Dalam serbuan tersebut kami berjaya menemui 30.7 gram heroin dan ujian saringan air kencing juga mendapati kesemua mereka positif dadah jenis morfin," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Perak Tengah pada Rabu.
Katanya, tiga daripada suspek mempunyai beberapa rekod lampau dan kes akan mahkamah disiasat lanjut di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan dijatuhkan hukuman mati mandatori.
Tambahnya, buat masa ini pihaknya masih menyiasat samada kes tersebut merupakan sebahagian daripada sindiket atau ahli geng.
"Pihak polis amat menghargai kerjasama orang ramai yang telah memberikan kerjasama ke atas kes terbabit dan kami mengharapkan bantuan dan maklumat untuk membanteras najis dadah ini akan berterusan,"katanya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Aziz Hasan berkata indeks aktiviti jenayah di daerah tersebut telah menunjukkan penurunan positif mulai Januari hingga Oktober tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.
" Sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun lepas, kita telah mencatatkan sebanyak 190 kes dan bagi tempoh sama tahun ini ianya adalah sebanyak 163, menunjukkan peratusan penurunan sebanyak 14.2 peratus atau 27 kes.
"Kes terbanyak direkodkan adalah kes curi motosikal sebanyak 53 kes sehingga 4 Oktober ini, dan diikuti dengan kes pecah rumah,"katanya.
Aziz berkata peratusan itu telah berjaya merealisasikan impian mereka untuk memastikan IPD Perak Tengah sentiasa berada di tiga teratas carta IPD terbaik seluruh negeri Perak hasil kerjasama semua pihak