Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan jumlah individu terkena jangkitan acute gastroenteritis (AGE) dengan sejarah berkunjung ke resort di Bukit Merah pada 24 September lalu meningkat kepada 70 orang berbanding 40 sebelum ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 70 individu itu terbahagi kepada 26 kes di Kedah, 30 kes di Perak dan 14 kes di Pulau Pinang melibatkan lingkungan umur 9 bulan ke 53 tahun.
"Daripada jumlah ini, sebanyak 30 kes (42.9%) disahkan positif Rotavirus (Perak sebanyak 6 kes, Kedah sebanyak 16 kes dan Penang sebanyak 8 kes).
"Kesemua kes dilaporkan dalam keadaan stabil dan tiada kematian dilaporkan. Sehingga hari ini, hanya 14 kes masih dirawat di hospital kerajaan dan swasta," katanya dalam satu kenyataan yang baru dikeluarkan sebentar tadi.
Bagaimanapun beliau memberitahu keputusan kehadiran virus dalam sample air yang diambil pada 29 dan September lalu di 7 lokasi berbeza di taman tema air berkenaan didapati negatif Rotavirus.
"Ini mungkin kerana tindakan pada 24 September lalu iaitu aktiviti pengklorinan air serta pencucian sebelum persampelan air oleh KKM dilakukan, boleh menyahkan Rotavirus," jelasnya.
Tambah beliau, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak masih meneruskan pemantauan aktiviti pencucian kolam seperti draining, cleaning, flushing dan backwash agar ia dilakukan dengan sempurna.
"Kolam-kolam ini masih ditutup di bawah Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sehingga JKN Perak berpuas hati dengan tindakan pembersihan yang telah dijalankan dan ia tidak akan memudaratkan kesihatan awam.
"KKM sekali lagi ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membawa anak-anak yang mempunyai gejala AGE ke kolam renang awam," katanya.