top of page

Perpaduan Jitu Ahli Komponen Jamin Kemenangan BN

muinsapidin

SUNGAI SIPUT: Kemenangan Barisan Nasional (BN) di dalam dua pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan dan Kuala Kangsar adalah kerana wujudnya kesatuan dan perpaduan jitu di kalangan ahli komponen BN, termasuk MIC.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi BN Perak berkata, semangat kesatuan dan perpaduan ini perlu terus kekal dan dipertahankan oleh ahli-ahli komponen BN sekiranya mahu BN mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke 14 nanti sekaligus memerintah negeri Perak.

Menurut beliau, BN telah membuktikan kejayaan di Teluk Intan dan Kuala Kangsar meskipun ada gambaran yang diberikan sebelum ini kononnya mustahil untuk memenanginya

``Tetapi dengan kesatuan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh pengundi-pengundi termasuk daripada masyarakat India maka BN berjaya mencapai kemenangan itu ,’’ katanya semasa berucap merasmikan Konvensyen MIC Perak 2016 sempena sambutan ulang tahun ke-70 MIC di Pusat Konvensyen MIC Sungai Siput pada Isnin. Hadir sama Presiden MIC Datuk Seri S. Subramanian dan Pengerusi MIC Perak Datuk V. Elango.

Dr Zambry turut menekankan mengenai pentingnya ahli komponen BN setia terhadap parti dan menyusun gerak kerja mendekati rakyat diperingkat lapangan agar rakyat terus memberikan sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bahagi mereka kepada BN.

Dr Zambry dalam ucapannya menarik perhatian 3,000 tetamu yang hadir apabila beliau memberi pujian kepada Subramaniam dan Elango kerana berucap begitu fasih berbahasa Malaysia.

``Saya sebutkan ini kerana pada hari ini kita seringkali mendengar ada orang yang cuba mempersoalkan cara kita bercakap khususnya dalam bahasa Inggeris.

``Tapi yang paling penting kita ada anak Malaysia daripada semua kaum dan malam ini saya menghayati ucapan Elango selepas itu ucapan daripada Presiden MIC dengan bahasa Malaysia yang begitu baik, aturan idea yang dicurahkan begitu teratur,’’ katanya.

Dr Zambry berkata, beliau yakin inilah wajah Malaysia dan masa depan negara yang kita cintai.

Terdahulu Subramaniam mahu ahli MIC bersatu dan mengetepikan pandangan di masa lalu bagi memberikan tumpuan kepada perpaduan di dalam kalangan parti serta bersedia menghadapi segala cabaran politik yang mendatang dan mencapai kemenangan besar dalam PRU ke 14 nanti.

Beliau juga menzahirkan harapan MIC sebagai parti politik untuk bertanding semula di dua kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

``Saya mengharapkan semua ahli MIC akan bekerja kuat untuk memastikan kemenangan BN bagi kerusi-kerusi itu dalam pilihanraya ke 14 nanti dan meneruskan pentadbiran negeri dan negara," ujarnya.


13 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page