GUNUNG SEMANGGOL: Polis mengesahkan pelajar perempuan tingkatan empat yang maut ketika dalam perjalanan ke sekolah di Jalan Semanggol, berhampiran Bukit Tok Keramat dekat sini pada pagi Selasa, akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian sekitar 7 pagi itu, mangsa Nur Syafiqah Mohamad Salin,16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Muzaffar Shah, Selinsing maut di tempat kejadian setelah motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati, mangsa ketika sampai ditempat kejadian cuba memotong sebuah lori pada garisan putih berkembar pembahagi jalan.
Bagaimanapun, kata beliau, semasa memotong, datang sebuah kereta dari arah bertentangan dan mangsa cuba masuk semula ke laluannya tetapi telah bergesel dengan cermin sisi sebelah kanan kereta itu dan hilang kawalan.
“Mangsa kemudian jatuh atas jalan dan telah digilis pada tayar belakang sebelah kanan lori yang cuba dipotong,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Beliau memberitahu, bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa di Hospital Parit Buntar mendapati Nur Syafiqah yang beralamat di Kampung Jaya, Semanggol maut akibat kecederaan kepala yang teruk.
Pemandu lori berusia 53 tahun dan pemandu kereta berusia 51 tahun terlibat bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.