IPOH: Tiga ekor gajah liar yang berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di kawasan Ulu Kuang, Chemor Jumaat lalu berjaya dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum hari ini (Selasa).
Sempena tangkapan dan pemindahan ibu gajah dan dua anaknya itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah menamakan gajah-gajah itu sebagai Mek Chemor, Mat Tambun dan Mat Kinta.
“Sempena tangkapan dan pemindahan ketiga-tiga gajah ini, kita namakan ibu gajah sebagai Mek Chemor manakala dua anaknya Mat Tambun dan Mat Kinta,” katanya kepada pemberita di Ulu Kuang, Chemor pada Selasa.
Menurut beliau, pihaknya menerima aduan penduduk kampung sejak beberapa bulan lalu berhubung kerosakan tanaman disebabkan gangguan gajah liar.
Beliau berkata, respon pantas daripada pihak Perhilitan telah dapat meminimakan kesan kemusnahan hasil petani penduduk di kampung ini dan berhampiran.
“Difahamkan masih ada kumpulan gajah liar ini belum ditangkap dan pihak Perhilitan memberi jaminan untuk melakukan pemantauan berterusan menerusi aduan yang diterima.
“Ini juga satu pengalaman kepada penduduk bagaimana sukarnya anggota menjalankan operasi pemindahan,” ujarnya.
Sementara itu Ketua Unit Gajah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Nasharuddin Othman berkata, operasi pemindahan gajah seberat tiga tan itu ke Taman Negeri Royal Belum, Gerik dilakukan dengan bantuan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang.
“Kami menggunakan dua ekor gajah dikenali sebagai Rambai dan Amboi yang bertindak sebagai denak bagi menjinakkan tiga ekor gajah tersebut untuk dipindahkan ke Taman Negeri Royal Belum,” katanya.
Menurut beliau, 19 anggota Perhilitan terlibat dalam operasi selama tiga jam bermula 9 pagi itu.
“Pihak kami menerima aduan daripada penduduk di sini mengenai gajah liar yang merosakkan tanaman mereka seperti pisang dan anak pokok getah pada Februari lepas dan melakukan siasatan dan kawalan.
“Gajah tersebut berjaya ditangkap Jumaat lepas dalam hutan berdekatan kampung berkenaan dan kita juga mengenal pasti terdapat tiga hingga lima ekor lagi gajah liar yang berkeliaran dalam kawasan hutan dan memasuki kampung berkenaan,” tambahnya.
Nasharuddin turut mengingatkan penduduk yang bekerja di ladang dan kebun masing-masing agar tidak bertindak sendiri sekiranya berhadapan dengan hidupan liar itu.
“Apa yang dibimbangi, tindakan itu akan mengundang risiko keselamatan kepada mereka, oleh itu mereka perlu menghubungi Perhilitan,” katanya.