top of page

MBI Anjur Majlis Resepsi Pasangan Pengantin Pelbagai Kaum

muinsapidin

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menganjurkan majlis resepsi untuk meraikan pasangan pengantin dari pelbagai kaum yang kurang berkemampuan.

Datuk Bandar, Datuk Zamri Man berkata, majlis resepsi itu yang dianjurkan bersama Majlis Masyarakat Sivil (MMS) MBI dijangka diadakan Disember ini.

Menurut beliau, majlis itu juga akan melibatkan beberapa butik pengantin bagi sama-sama memberi peluang pasangan yang kurang berkemampuan untuk merasai pengalaman memakai busana pengantin seperti pasangan lain.

“Kita jangka antara 30 dan 40 pasangan pengantin akan diraikan dalam majlis ini, yang dijadualkan di Dataran Bandaraya,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Penuh MBI bagi bulan September 2016 di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Datuk Bandar memberitahu, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak, untuk menjayakan Festival Makanan, sebagai salah satu acara Tahun Melawat Perak 2017.

Terdahulu ketika mesyuarat berkenaan, seorang Ahli Majlis, Mohamad Annuar Baharuddin mencadangkan supaya MBI menganjurkan festival makanan kerana Ipoh khususnya dan Perak amnya memang terkenal sebagai syurga makanan.

Zamri yang menyambut baik cadangan itu berkata, pihak MBI sentiasa bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat korporat untuk menjayakan apa juga aktiviti.

“Ini juga adalah sebahagian daripada usaha menjadikan Ipoh sebagai Bandar Perniagaan Sosial,” katanya sambil merujuk kepada pengisytiharan yang diperolehi Ipoh daripada pengasas bandar perniagaan sosial, Profesor Muhammad Yunus ketika Pangkor Dialogue baru-baru ini.

Di samping itu, kata beliau, MBI juga sentiasa mengutamakan inovasi dan kreativiti untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh warga bandaraya, dengan kerjasama semua pihak, termasuk MBI, NGO, swasta dan institusi cerdik pandai.

Sementara itu, Datuk Bandar turut merakamkan takziah kepada keluarga ahli MMS, Allahyarham Yazid Ismail yang terkorban bersama-sama isterinya, Allahyarhamah Hasnidar Hassan dalam kemalangan di Kg Temiang dekat sini pada Isnin.

Ahli-ahli mesyuarat yang beragama Islam turut membaca surah Al – Fatihah untuk disedekahkan kepada roh kedua-dua mereka.


22 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page