top of page
muinsapidin

Hentikan Penerokaan Hutan Simpan Segari Melintang - NGO

SEGARI: Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) menggesa pihak berwajib agar segera menghentikan aktiviti penerokaan hutan simpan, khususnya di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang.

Pegawai lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, mereka agak terkejut apabila mendapati berlaku kegiatan pemusnahan hutan di Segari dan daerah Manjung, melibatkan kawasan sekitar 60 hektar yang bakal digunakan untuk tujuan pembangunan.

Beliau mendakwa, keluasan asal Hutan Simpan Segari Melintang yang direkodkan adalah melebihi 4,000 hektar namun kini hanya ada sekitar 2,720.79 hektar yang masih wujud.

"Tindakan pemansuhan sebahagian daripada Hutan Simpan Segari Melintang ini adalah bercanggah dengan Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2030 yang ingin mengekalkan hutan simpan sebagai guna-tanah hutan dan HSK.

"Selain itu, pemansuhan ini juga bertentangan dengan Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992) dan Strategik Korporat Utama Jabatan Perhutanan Negeri Perak iaitu mengekalkan keluasan HSK sedia ada, malah meningkatkan lagi keluasannya," katanya kepada pemberita dalam sidang media di lokasi HS Segari Melintang, di sini pada Selasa.

Tambah Meor, apa yang mengecewakan pihaknya adalah aktiviti penerokaan kawasan hutan simpan itu melibatkan kompartmen 51 dan 52 Hutan Simpan Segari Melintang dan berlaku dalam tempoh kurang daripada sebulan.

Menurutnya, hampir keseluruhan kawasan hutan simpan itu terdiri daripada hutan jenis bukit pantai dengan sebahagian kecil melibatkan jenis hutan pantai di persisiran pantai manakala sebahagian kecil adalah lokasi berpaya.

Beliau berharap agar dengan mengambil kira kesemua jenis impaknya terhadap pemeliharaan hutan, pihak berkuasa negeri dapat bertindak menghentikan aktiviti pemusnahan kawasan hutan di Segari.

"Sekiranya terdapat daripada Hutan Simpan Segari yang dimusnahkan tersebut telah dimansuhkan, kami berharap pihak berkuasa negeri dapat mewartakannya semula sebagai HSK atau menggantikannya mengikut Seksyen 12, Akta Perhutanan Negara 1984," ujarnya.

Antara wakil NGO yang hadir adalah daripada Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) cawangan Perak, Persatuan Rekreasi Alam Sekitar Perak (PERASAP) dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam Perak (KUASA).


47 views0 comments
bottom of page