IPOH: Selepas berjaya menempa nama dalam sejarah dunia sebagai wanita Islam pertama mengelilingi dunia menaiki motosikal secara solo, Anita Yusof, 48, kini memasang impian untuk menjejaki Himalaya pula.
Selain itu, Pensyarah Sains Sukan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh itu sedang dalam perancangan menulis buku berkenaan pengembaraan merentasi empat benua dan 40 buah negara sejak 10 September tahun lepas.
“Biasalah kalau kita sebagai ‘rider’, apabila sudah mulakan satu-satu pengembaraan akan rindukan saat-saat di atas jalan, InsyaAllah kalau diizinkan saya rancang akan ke Himalaya pula,” katanya ketika ditemui di majlis Kembara “Global Dream Rider” Secara Solo Mengelilingi Dunia di IPG Kampus Ipoh di sini pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Rektor IPGM, Dr. Noriati Rashid dan ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah.
Anita diraikan dalam majlis tersebut bersempena kepulangannya pada 16 September lalu dan kejayaannya turut memberi pengiktirafan kepada institusi pendidikan bukan sahaja di Perak bahkan Malaysia amnya.
Menurut Anita, dia yang sudah pun memulakan tugas seperti biasa sebagai pensyarah berkuatkuasa hari ini (Selasa), akan memastikan buku hasil tulisannya dikeluarkan sebaik sahaja mendapat peluang.
“Jika ada kelapangan, saya akan mulakan dengan projek buku saya, ketika ini tajuk yang mungkin akan saya pilih ialah ‘Andai Ini Takdir Yang Ku Pilih’.
“Pengalaman yang saya peroleh setelah menunggang lebih 65,000 kilometer merupakan sesuatu yang sangat berharga dan saya mahu kongsi segala suka duka saya dengan masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anita turut membuktikan kepada dunia, dengan hanya menggunakan motosikal jenis Yamaha FZ150i, beliau berjaya merentasi negara Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Guatemala, El Salvador, Honduras, Nicaragua, Costa Rica, Panama, Columbia, Equador, Peru, Bolivia, Chile, Argentina, United Kingdom, Perancis, Sepanyol, Portugal, Monaco, Itali, Crotia, Bosnia, Montenegro, Albania,Greece, Turki, Iran, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan, Russia, Monglia dan Thailand.
Lebih membanggakan, pengembaraannya lebih banyak menggunakan wang simpanannya RM120,000, untuk membiayai kos petrol, makan serta tempat tinggal di sepanjang kembara solo.
Syarikat Hong Leong Yamaha Motor dan Givi pula memberi tajaan dalam bentuk barangan, khususnya untuk kelengkapan pakaian kembara serta sebuah motosikal baharu.