SUNGAI SIPUT: UMNO Bahagian Sungai Siput sedang giat menyusun gerak kerja menerusi platform Program Sentuhan Kasih untuk mendaftarkan 2,201 masyarakat orang asli di kawasan itu sebagai pemilih baharu.
ADUN Lintang Datuk Zolkafly Harun berkata, menerusi program ini, Pusat Khidmat DUN Lintang dengan kerjasama Puteri UMNO Bahagian Sungai Siput dan BAIDURI akan menjelajah ke perkampungan orang asli bagi mendaftar 2,201 masyarakat orang asli yang masih belum mendaftar sebagai pemilih baharu.
Menurut beliau, dengan sokongan masyarakat Orang Asli dan penambahan pengundi baharu ini ia merupakan satu `fixed deposit’ bukan sahaja kepada DUN Lintang tetapi juga kepada Parlimen Sungai Siput.
"Ketika ini terdapat 2,201 masyarakat Orang Asli yang berumur 21 ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pemilih.
"Saya telah meminta pimpinan-pimpinan Tok Batin, Puteri termasuk Wanita dan juga Pemuda supaya bergerak pantas dalam menentukan bahawa masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan mendaftar sebagai pemilih,’’ katanya.
Datuk Zolkafly yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput berkata demikian kepada Suara Perak selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih di Dewan Masyarakat Kampung Chenein, Sungai Siput pada Ahad.
Hadir sama Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Siput, Ramfizah Ramli dan Pengerusi Penyelaras BAIDURI DUN Sungai Siput Datin Zaitun Abdul Rahman.
Katanya, menerusi siri jelajah itu nanti masyarakat Orang Asli juga akan diberi peluang berurusan dan menyelesaikan permasalahan mereka dengan wakil-wakil agensi dan jabatan kerajaan yang menyediakan perkhdmatan kaunter seperti Jabatan Pendaftaran dan JPJ.