Pasangan yang merancang untuk mendapatkan anak dinasihati supaya mendapatkan nasihat doktor pakar secepat mungkin sebelum mengandung bagi mengesan atau mengelak bayi mereka daripada dijangkiti mikrosefelia.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, langkah berjaga-jaga tersebut perlu diambil berikutan dua bayi di Thailand telah dikesan mempunyai penyakit tersebut yang berkait rapat dengan virus Zika baru-baru ini.
Menurut beliau, kementerian memandang serius kes tersebut kerana ianya merupakan kes yang pertama berlaku di rantau asia.
“Sebelum ini kes-kes seperti itu hanya terdapat di Brazil dan juga Amerika, Ireland pula telah memberitahu bahawa penyakit itu memang berkaitan rapat dengan virus Zika,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Bagi SJK (T) Gunung Rapat di Ipoh pada Isnin.
Tambah beliau, susulan daripada kes itu juga pihaknya telah mempertingkatkan pemantauan dan kawalan berkaitan virus Zika daripada menular ke negara ini.
“Tetapi ianya hanya boleh dapat dikawal dengan kerjasama rakyat, mereka perlu memberi kerjasama sepenuhnya.
“Dua cara sahaja iaitu menghampuskan kawasan pembiakan Aedes dan mempertingkatkan pengetahuan rakyat terhadap virus ini, bagaimana ianya berjangkit serta kesanya,” jelas beliau.
Sementara itu, beliau memberitahu pihaknya masih lagi melakukan siasatan dan ujian ke atas sample air yang telah diambil Taman Tema Air Bukit Merah Laketown Resort.
“Setakat ini ianya telah diarahkan tutup secara sementara waktu, kita akan melihat nanti hasil daripada ujian yang kita lakukan.
“Sekiranya kita dapati kecuaian adalah punca daripada wabak rotavirus itu berlaku, taman tema itu mungkin berdepan denda atau arahan penutupan, kita tengok nanti macam mana,” ujarnya.