top of page
muinsapidin

Maut Suami Isteri: Permintaan Terakhir Kepada Adik," Halalkan Makan Minum", Dunia dan Akhi

IPOH: Halalkan makan minum akak, dunia dan akhirat, Itulah permintaan terakhir Hasnida Hassan, 46, kepada adiknya sebelum maut bersama-sama suaminya dalam kemalangan di Kg Temiang, Sri Kinta di sini pada pagi Isnin.

Hasnida, pada ketika itu dipercayai baru keluar daripada rumah bersama suaminya, Yazid Ismail, 53, untuk sarapan pagi sebelum keduanya menemui ajal ketika motosikal

mereka bertembung dengan sebuah kenderaan.

Adiknya, Haslidatul Aziah, 44 ketika ditemui berkata, mereka baru sahaja pulang dari menghadiri kenduri kahwin anak saudara di Melaka pada malam Ahad dan di situlah beliau menyedari perubahan kakaknya.

Katanya, kakaknya itu kelihatan agak sugul dan banyak mendiamkan diri malah nada suaranya juga berubah sepanjang perjalanan pulang ke Ipoh.

"Arwah kakak sesekali bercerita mengenai imbasan kenangannya di Langkawi dan mengenai perancangannya untuk meraikan hari keluarga bersama di sana dalam masa terdekat.

"Yang saya hairan, arwah turut menceritakan mengenai tabung khairat kematian keluarga seperti tahu mengenai ajalnya, dan perlakuannya memang lain dari kebiasaan," katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun ( HRPB) Ipoh, pada Isnin.

Menurutnya, arwah Hasnida turut sempat meluangkan masa bersama anak sulungnya yang bekerja di Kuala Lumpur sebagai penyelia syarikat penghantaran pos.

"Sekembalinya dari Melaka, kami singgah di RnR Senawang bersama ahli keluarga lain dan saya tidak langsung menyangka itulah petanda arwah kakak akan berjumpa dengan anak sulungnya, dan berkumpul bersama kami semua untuk kali terakhir.

"Semalam, ketika sampai di Ipoh sekitar jam 1 pagi, arwah sempat bersalaman dengan saya dan beliau kelihatan pucat.

"Halalkan makan minum akak, dunia dan akhirat, itu permintaannya,"ujarnya yang tidak dapat menahan kesedihan.

Mangsa, Yazid dan Hasnida meninggalkan tiga orang anak masing-masing berusia 26, 22 dan 17 tahun.

Menurut saksi kejadian, arwah Yazid yang sedang menunggang motosikal dipercayai terperosok masuk ke bahagian bawah kenderaan manakala isterinya pula melambung daripada motosikal akibat impak rempuhan bersama sebuah kenderaan jenis Perodua Axia.

Yazid, pernah dianugerahkan Ahli Majlis Masyarakat Sivil ( MMS) Terbaik Majlis Bandaraya Ipoh bagi tahun 2015 dan merupakan seorang kakitangan Giatmara yang aktif dan sentiasa menyumbangkan idea bernas buat jabatan.

Turut melawat mangsa ialah Pengerusi Giatmara yang juga Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur, Datuk Azian Osman dan Setiausaha MBI, Mohd Zakuan Zakaria.


1,538 views0 comments
bottom of page