IPOH: Suami isteri yang maut selepas motosikal mereka bertembung dengan sebuah kereta Perodua Axia di Jalan Kampung Sri Kinta, selamat dikebumikan di dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Kg Pasir Puteh pada Selasa petang.
Jenazah Yazid Ismail, 53, dan isterinya, Hasnidar Hassan, 48, selamat dikebumikan selepas solat Asar.
Lebih 300 kaum keluarga serta sahabat handai, termasuk Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, Pengerusi Giatmara, Datuk Azian Osman dan Presiden Kelab Ahli Majlis MBI, Datuk Mohd Raduan Kassim turut menziarahi jenazah suami isteri itu di masjid kampung berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira 8.20 pagi itu, kedua-dua mereka yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong memberitahu, kemalangan tersebut melibatkan dua buah motosikal dan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 20 tahun. Katanya, ketika kejadian kedua-dua motosikal tersebut sedang dalam perjalanan dari arah Pasir Puteh ke Ipoh. "Semasa sampai di tempat kejadian, kereta Perodua Axia yang datang dari arah bertentangan cuba memotong kenderaan lain di hadapannya sehingga memasuki laluan kedua-dua motosikal tersebut.
"Kenderaan itu kemudiannya telah melanggar kedua-dua motosikal sebelum hilang kawalan dan merempuh sebatang tiang elektrik di bahu jalan," katanya. Menurutnya, pemandu kereta berkenaan dan penunggang sebuah lagi motosikal turut cedera dan mendapat rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).