IPOH: Hilang tanpa berita lebih daripada sebulan, ibubapa merayu agar anak gadis mereka, Foong Sok Mun, 20, yang dipercayai lari dari rumah, pulang semula ke pangkuan keluarga.
Pada 23 Ogos lepas, Sok Mun dipercayai bertindak nekad mengikut teman lelakinya dan keluar dari rumah tanpa sebarang khabar sehingga hari ini.
Ibu gadis berkenaan, Ng Saw Hing, 51, berkata beliau tidak menyedari bahawa tindakan anak perempuannya yang keluar dari rumah mereka di Lebuh Taman Tasek sekitar jam 7.30 pagi pada 23 Ogos lepas adalah untuk melarikan diri dari rumah.
"Saya sempat bertanya kepada Sok Mun mengapa dia membawa sebuah beg pakaian dan kelihatan tergesa-gesa keluar dari rumah kami, namun dia tidak pun memandang atau menjawab pertanyaan saya.
"Dia terus keluar dari rumah dan menaiki kereta rakannya yang telah menunggu di luar rumah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan DAP Bercham, di sini pada Isnin.
Menurutnya, itu adalah kali terakhir dia melihat anak perempuannya dan sehingga hari ini mereka sekeluarga masih belum menerima sebarang khabar berita darinya.
Saw Hing berkata, beliau telah mencuba pelbagai cara dengan menghubungi anaknya namun panggilan tidak pernah dijawab atau terus masuk ke peti mel suara.
"Kali terakhir saya cuba untuk menelefon Sok Mun adalah pada semalam (Ahad), namun masih gagal," katanya lagi.
Suaminya, Foong Leng Meng, 51, berkata, anak gadisnya itu ada berkawan dengan seorang lelaki berusia 26 tahun berasal dari Lundu, Sarawak.
“Sebelum ini, lelaki itu pernah bekerja sepejabat dengan anak saya di sebuah syarikat di sini, namun anak saya telah berhenti kerja pada Julai lepas dan kami juga mendapat tahu yang lelaki terbabit telah berkahwin.
“Kami cuma bimbang jika anak gadis kami diculik ataupun dipaksa untuk terbabit dalam kegiatan tidak bermoral,” jelasnya yang memaklumkan laporan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada 6 September lepas.
Leng Meng berkata, sebelum kejadian itu, terdapat sedikit perselisihan faham antara mereka sekeluarga.
“Bapa merayu, Sok Mun. Tolonglah balik.
"Baliklah, jika ada masalah kita boleh berbincang secara baik dan menyelesaikannya bersama sebagai satu keluarga,” rayunya.
Sementara itu, ADUN Bercham, Chee Cheong Khing berharap polis dapat membantu untuk mencari semula gadis tersebut serta membawanya pulang dalam keadaan selamat kepada keluarganya.