top of page
muinsapidin

Empat Bersaudara Ditahan Miliki Dadah Bernilai Lebih RM600,000

IPOH: Empat bersaudara ditahan polis di rumah sewa mereka di Chemor pagi Ahad kerana memiliki dadah bernilai lebih RM600,000

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, ACP R. Ravi Chandran, mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan berumur antara 22 hingga 36 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis di sewa rumah berkenaan pada jam 9.30 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan polis menemui dadah jenis methamphetamine seberat 640 gram dan heroin seberat 1140 gram bernilai RM620,564.00.

`` Dadah tersebut disyaki untuk diedarkan di kawasan Chemor dan boleh dibekalkan untuk 2,500 orang penagih dadah,’’ katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak di Ipoh pada Isnin.

Menurut Ravi Chandran, kesemua suspek telah ditahan reman selama enam hari bermula hari ini (Isnin) sehingga 8 Oktober bagi membolehkan pihak polis menjalankan penyiasatan.

Katanya, kesemua suspek itu ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.

Beliau percaya, empat bersaudara itu dipercayai merupakan anggota satu sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif sejak tiga bulan lalu di kawasan Chemor dan polis juga sedang mengesan rangkaian sindiket lain yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kesemua suspek berkenaan.

Ravi Chandran juga memberitahu penyalahgunaan dadah jenis syabu di negeri Perak meningkat secara mendadak sebanyak 659 peratus disamping penyalahgunaan dadah jenis heroin dan ganja.

Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga September 2016, seramai 8,554 orang telah ditangkap atas kesalahan memiliki dadah, peningkatan 3 peratus berbanding 8,358 orang pada tempoh yang sama tahun 2015.

``Kesemua tangkapan kes-kes pengedaran dan memiliki dadah ini telah menghasilkan pelbagai jenis dadah yang berjumlah RM7.3 juta.

Beliau memberitahu, bagi Januari hingga September 2016, seramai 1,904 orang penagih baru berjaya ditangkap berbanding 1,836 orang bagi tempoh yang sama tahun 2015 manakala penagih berulang adalah seramai 3,243 orang.

Mengenai sitaan harta pengedar dadah, katanya, tindakan di bawah Akta Perlucutan Harta 1988 terhadap kesemua pengedar dadah yang ditangkap telah menghasilkan rampasan pelbagai jenis harta benda termasuk rumah, kodominium , tanah dan kenderaan serta akaun bank bernilai RM7.8 juta, berbanding RM6.1 juta bagi tempoh yang sama tahun 2015 iaitu peningkatan 26 peratus.


96 views0 comments
bottom of page