IPOH: Seorang lelaki terselamat dengan hanya mengalami kecederaan setelah motosikalnya merempuh sebuah kereta menyebabkan dia melambung ke udara setinggi 3 meter dalam satu kemalangan persimpangan lampu isyarat Medan Klebang Restu, di sini petang tadi.
Mangsa, Amirul Anuar Mustaffar,28, yang menunggang motosikal jenis Honda Ex5 melambung ke udara berikutan impak rempuhan tersebut sebelum jatuh ke jalan raya.
Dalam kejadian sekitar 6 petang itu, mangsa yang sedang dalam perjalanan menghala ke Ipoh difahamkan hanya mengalami kecederaan di bahagian kepala, bahagian belakang badan, tangan dan kakinya.
Manakala motor mangsa didapati remuk. Mangsa kemudiannya telah dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut saki kejadian yang berada tidak jauh daripada lokasi kejadian, beliau terdengar satu dentuman kuat di persimpangan lampu isyarat sebelum nampak penunggang tersebut melambung ke udara.
"Saya terdengar bunyi geseran tayar seperti brek kereta diikuti dengan dentuman yang kuat, sebelum saya terlihat mangsa melambung setinggi 3 meter ke udara. Melihat keadaan kemalangan saya ingat pasti penunggang itu mati tapi mujurlah dia cedera sahaja,” katanya kepada Suara Perak.
Beliau yang hanya ingin dikenali sebagai Aziz berkata dia sedang menikmati minum petang di restoran berhampiran yang terletak sekitar 100 meter daripada lokasi kemalangan.
Jelasnya, tidak lama kemudian orang ramai mula mengerumuni kawasan berkenaan sebelum polis dan pihak perubatan datang ke lokasi.
"Saya berdoa dia tidak alami kecederaan serius kerana pada pandangan mata kasar saya memang agak teruk impak kemalangan itu,motosikal mangsa pun hancur dan terseret agak jauh,"katanya lagi.