IPOH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan beliau langsung tidak berkecil hati berhubung ucapannya di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini yang dipersendakan netizen dalam media sosial.
Katanya, beliau tidak mengambil perkara itu sebagai satu isu yang menyebabkan beliau berkecil hati. Menurutnya lebih memalukan adalah apabila ada warganegara Malaysia yang dilahirkan, dibesarkan dan bekerja di negara tetapi tidak tahu berbahasa Malaysia. "Saya tidak ambil itu sebagai satu yang menyebabkan saya kecil hati tetapi yang kecil hati kalau orang lahir dekat sini besar di sini kerja sini tetapi tidak tahu bercakap Melayu. Ini amat memalukan.’’ Katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Barat di Bangunan UMNO Negeri Perak di Ipoh pada Ahad.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar. Menurut Zahid, rakyat Malaysia yang lahir, membesar dan bekerja di negara ini seharusnya berkemampuan untuk bertutur dalam bahasa Melayu dan amat memalukan sekiranya mereka tidak dapat menguasai bahasa itu dengan baik. Isu ucapan Datuk Seri Ahmad Zahid HAmidi di PBB baru-baru ini telah dipersendakan di dalam media sosial yang dilihat cuba memperkecilkan kemampuan Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu.
Sebelum itu, Dr Zambry yang juga Pengerusi UMNO Negeri mempertahankan ucapan Zahid yang dibuat di PBB.
Beliau berkata, Zahid tidak perlu merasa malu kerana tidak bercakap Bahasa Inggeris sepertimana seorang bangsa Inggeris.
"Ramai pemimpin dunia yang berucap di pentas antarabangsa dalam bahasa Inggeris yang tidak betul.
Contohnya, Setiausaha Agong PBB Ban Kin-moon, Perdana Menteri Russia dan Perdana Menteri Jepun. Pemimpin ini tidak pernah bercakap Inggeris dengan betul ketika berucap. Yang penting bukan sebutan tetapi mesej yang ingin disampaikan semasa berucap. Itu yang patut dijadikan ukuran," katanya.
Beliau berkata masyrakat perlu berhenti daripada berfikiran seperti masih 'dijajah' dengan berpandangan seseorang perlu fasih berbahasa Inggeris untuk menjadi pemimpin hebat.
Katanya sebaliknya mereka perlu berbangga dengan Bahasa Malaysia kerana hanya dengan cara itu ia dapat mengetengahkan identiti negara Malaysia sepertimana negara lain yang sentiasa berbangga dengan bahasa ibunda masing-masing.