Bagan Serai : Ahli Lembaga Pengarah Pusat Pelajar Islam (PPI) Mohamed Abdullah,78, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak sempena sambutan Maal Hijrah tahun ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan menyampaikan anugerah berkenaan. Beliau yang juga penasihat Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP) membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, pakej umrah, medal, plak dan hadiah iringan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk). Pemilihannya sebagai Tokoh Maal Hijrah berikutan sumbangan besarnya dalam menyampaikan dakwah di negeri ini. "Syukur kepada Allah S.W.T atas rahmat dan kurniaannya kepada saya. "Saya rasa berbesar hati, mudah-mudahan dengan anugerah saya terima ini ia memberi semangat dan dorongan kepada saya untuk trus berkhidmat kepada masyarakat," katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah itu pada Sabtu.
Sambutan Maal Hijrah Peringkat negeri berlangsung di DeWan Dato Zainal Abidin Zin, di sini.
Sementera itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan yang berkhidmat dari tahun 2005 hingga 2013 Datuk Wan Zahidi Wan Teh,74 pula dipilih sebagai Tokoh Ar-Ridzuan 1438. Wan Zahidi yang kini merupakan Felo Kerhormat Kanan Universiti Islam Malaysia (UIM) dipilih menerima anugerah berkenaan berikutan sumbangan besar beliau dalam pelbagai bidang. Beliau juga merupakan pemenang anugerah Tokoh Maal Hijrah 1437/2015 peringkat Wilayah Persekutuan. "Sudah tentu anugerah ini akan membakar lagi semangat saya untuk meneruskan kerja-kerja dakwah. "Saya amat ingin melihat umat Isam di negara ini dan Perak khususnya bersatu, saya akan teruskan dakwah untuk ianya berjaya dicapai, insyaallah," ujarnya. Manakala bagi kategori pengurusan Masjid Terbaik, Masjid Al-Islah Kampung Tersusun Kledang Utama, Sungai Siput dipilih bagi tahun ini dan Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Jamek Kg Boyan Taiping pula dipilih menerima anugerah pengurusan Tanah Perkuburan terbaik. Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah merupakan tema sambutan Maal Hijrah 1438.