top of page
muinsapidin

Wabak Rotavirus tidak jejas promosi TMP 2017

Wabak Rotavirus yang dikesan berpunca daripada taman tema air Bukit Merak Lake Town Resort tidak akan menjejaskan usaha mempromosi Tahun Melawat Perak 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, wabak tersebut setakat ini hanya dikesan di taman tema air berkenaan dan tidak melibatkan produk-produk pelancongan negeri yang lain.

“Wabak tersebut secara amnya tidak akan memberi kesan kepada sektor pelancongan kita kerana ianya hanya melibatkan satu tempat.

“Saya difahamkan usaha pengawalan wabak itu kini sedang giat dijalankan dan kita akan terus memantau perkara tersebut, jadi boleh saya katakan di sini setakat ini ianya terkawal dan tidak melibatkan tempat-tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Reka Bentuk Cenderamata Sempena Tahun Melawat Perak 2017 di Ipoh pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau juga menyeru pengusaha serta pemilik tempat-tempat pelancongan di negeri ini untuk melipat gandakan usaha mencegah sebarang wabak atau virus daripada berlaku.

“Kita semua perlu berhati-hati memandangkan pelbagai penyakit dan virus yang ada ketika ini seperti rotavirus dan zika.

“Tahun hadapan adalah Tahun Melawat Perak 2017 jadi kita perlu gandakan usahakan bagi memastikan tiada lagi kes-kes yang berlaku seperti mana berlaku di Bukit Merah baru-baru ini,” jelasnya.

Pada Jumaat, Jabatan Kesihatan Perak telah mengesahkan terdapat 30 individu telah terkena jangkitan Rotavirus selepas mengunjungi taman teman air tersebut.


31 views0 comments
bottom of page