top of page
muinsapidin

UMNO Perlu Melakukan Penyesuaian - Dr Zambry

KUALA KANGSAR: UMNO perlu melakukan penyesuaian dengan menerima kelompok muda menyertai parti keramat itu seiring dengan tuntutan semasa.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pembentukan kelompok pengundi muda yang semakin signifikan jumlahnya dengan hampir 40 peratus di Perak, sudah tentu menuntut UMNO yang telah berusia 70 tahun menyesuaikan rentaknya, seiring dengan gaya dan pemikiran anak-anak muda.

“Penyesuaian ini bukanlah bermakna UMNO harus menggadai dasar ataupun teras perjuangannya akan tetapi kaedah serta pendekatan perlu dibugarkan seiring tuntutan semasa dan ini termasuklah memperkasakan pelapis muda di dalam parti,’’ katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangar di Dewan Jubli Perak, di sini pada Sabtu. Hadir sama Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Muhamad Kamil Shafie.

Dr Zambry berkata, sifat semulajadi golongan muda yang kritikal serta inovatif, perlu diberikan ruang di dalam parti ini.

“Janganlah kita mengesahkan pandangan pihak luar yang mewajahkan UMNO sebagai parti yang jumud dan tidak bersedia menerima perubahan,’’ ujarnya.

Beliau juga meminta semua ahli parti supaya meneliti dan yang lebih penting menghayati apa sebenarnya matlamat keberadaan UMNO di tengah khalayak.

Dr Zambry menegaskan bahawa perubahan demografi politik pada masa kini, menuntut UMNO khususnya di Perak menyegarkan semula gerakannya.

Menurut beliau, dengan kuasa mengundi yang semakin seimbang di antara Melayu yang kini 49.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di Perak, Cina 36.8 peratus, India 11.6 peratus dan lain-lain 2.16 peratus, ia sudah tentu menjadi cabaran, khususnya melibatkan aspek perpaduan.

Katanya, perpecahan di kalangan umat Melayu, akan memberikan kesan kepada kelangsungan politik bangsa.

``Umat yang berpecah, bukan mudah untuk merintis kembali titik pertemuannya, namun sering ditimbulkan persoalan, apakah perpecahan umat hari ini kerana tingkah pihak lain atau atas kesilapan kita sendiri,’’ ujarnya.

Di dalam ucapannya, Dr Zambry menggariskan tiga penanda yang perlu dipancang dalam mendepani bebanan yang dihadapi oleh UMNO pada hari ini.

``Penanda pertama menjernihkan niat dan tekad dalam membawa perjuangan UMNO kerana rakyat ingin melihat keberadaan kita di dalam parti, bukan kerana ingin mengejar ghonimah (habuan) yang selama ini ditempelkan imej buruk itu kepada parti ini.

``Sebaliknya, keberadaan kita di dalam parti, kerana sarat dengan tekad untuk menabur bakti dan khidmat,’’ katanya.

Penanda kedua, kata Dr Zambry, ehsan terhadap masyarakat, kesombongan serta mendindingi UMNO daripada realiti sebenar hanya menyebabkan rakyat terpisah jauh daripada gerakan UMNO.

Beliau memberitahu, penanda ketiga ialah ketekunan dan kegigihan membawa agenda parti dan perubahan kepada masyarakat.

``Kita memerlukan pasukan yang tidak pernah jemu, yang tidak kenal erti putus asa dalam mengangkat agenda bangsa,” tambahnya.

Pada majlis itu, Dr Zambry turut menyampaikan Anugerah Khas kepada bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Anuar yang diterima oleh anaknya, Wan Emir Astar di atas jasa Allahyarham kepada penduduk Kuala Kangsar semasa menjadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar.


27 views0 comments
bottom of page