top of page
muinsapidin

Rosmah pelawa DAP Bee Yin lawat Permata

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mempelawa pemimpin DAP Yeo Bee Yin melawat pusat Program Permata Negara (Permata) yang memberi fokus kepada perkembangan pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.‎

Beliau yang juga Penaung Permata berkata perbicangan telahpun diadakan supaya satu taklimat diadakan bagi membolehkan wakil rakyat rakyat Damansara Utama itu memahami usaha yang dijalankan Permata. ‎Katanya mungkin dengan lawatan dan sesi taklimat itu Bee Yin dan pemimpin pembangkang lain dapat melihat dan seterusnya menghargai Permata yang telah memberi impak positif kepada berpuluh ribu kanak-kanak. Beliau berharap langkah itu dapat menghentikan tohmanah pembangkang selama ini yang sering menuduh Permata merupakan program yang menghabiskan duit rakyat.‎ "Kami telah menjemput beliau melawat pusat permata kami dan kami telah pun berbincang untuk adakan briefing supaya beliau tahu permata ini bukanlah satu program yang menghabiskan duit sahaja," katanya. ‎Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai ziarah dan penyerahan bantuan kemanusian Pandu Puteri Malaysia kepada empat kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan sekitar Tanjung Malim, pagi tadi. Isteri Perdana Menteri diminta mengulas kenyataan wakil rakyat DAP Selangor Bee Yin‎ yang mempertahankan Permata. Bee Yin dalam kenyataannya berkata statistik membuktikan pelaburan kerajaan dalam penjagaan dan pendidikan awal anak-anak seperti Permata memberi manfaat kepada pembayar cukai. ‎Mengulas lanjut, Rosmah berkata Permata seharusnya disokong oleh setiap lapisan masyarakat kerana program ini bertujuan membina perkembangan potensi kanak-kanak terutama kalangan keluarga berpendapatan rendah di luar dan pinggir bandar. "Kita telah buat kajian santifik berkenaan pendidikan anak-anak sejak beberapa tahun...bukannya kami tidak ada hala tuju, kami memang ada hala tuju, kami faham dan tahu apa yang kami buat," katanya. Melihat kepada kejayaan Permata, katanya, ada negara-negara lain yang telah memulakan misi sama di negara mereka.‎ Menjawab soalan lain, Rosmah berkata beliau gembira apabila mengetahui pembangkang sudah mula menyedari peranan murni yang dilakukan Permata. "Saya ucapkan terima kasihlah kepada Yang Berhormat tersebut kerana beliau adalah orang yang pertama memberi sokongan kepada Permata. Samada dia suka saya atau tak suka saya itu adalah hak dia. Saya bukannya ahli politik dan saya bukan buat kerja-kerja ini untuk dapatkan sokongan. Saya membuat kerja ini semata mata untuk kebaikan anak anak kita dan saya ikhlas," katanya. Dengan nada berseloroh, Rosmah berkata Bee Yin seharusnya memberi peluang untuk berjumpa dan mengenalinya. "Dia tak pernah jumpa saya...saya pun tak pernah jumpa dia. Jadi beri peluang kepada diri dia kenali saya dulu dan baru buat keputusan sama suka saya atau tak suka," katanya.‎


10 views0 comments
bottom of page