top of page
  • muinsapidin

Rosmah Ketuai Program Ziarah Bantuan PPPM Di Tanjung Malim

TANJUNG MALIM: Yang DiPertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Datin Seri Rosmah Mansor mengetuai program ziarah bantuan kepada empat orang kanak-kanak yang menghidap masalah kesihatan di Tanjung Malim pada Sabtu.

Keluarga kanak-kanak berkenaan turut menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM3,500 setiap seorang daripada PPPM dan Yayasan Program PERMATA Negara (PERMATA). Rosmah yang juga penaung PERMATA menyampaikan sumbang kepada ahli keluarga kanak-kanak berkenaan ketika melawat mereka di Kota Malim Prima dan Taman Indah, Tanjung Malim. Ketika ditemui, Rosmah berkata, program itu diadakan bersempena sambutan ulangtahun penubuhan PPPM yang mencecah 100 tahun serta menyelami nasib kanak-kanak kurang bernasib baik. "Sewaktu sesi perbualan tadi, ibubapa anak-anak itu ada mengadu bahawa kos perubatan setiap bulan tinggi dan perlu bawa anak mereka untuk jalani pemeriksaan dalam waktu tertentu. "Diharapkan sumbangan yang disampaikan kepada kanak-kanak ini hari ini dapat membantu apa yang patut dan meringankan beban perbelanjaan yang dihadapi mereka," kata beliau. Hadir sama dalam program ziarah itu, Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah merangkap Timbalan Yang Dipertua PPPM, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Yang Dipertua PPPM Pahang serta isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Kanak-kanak yang menerima sumbangan itu ialah Muhammad Syafi Hadif Mohd Shahir, 3, yang menghidap mikrosefali dan palsi serebrum; Amalina Sofia Sudirmi, 10 bulan (jantung berlubang dan risiko jangkitan paru-paru); Muhammad Darrien Zafreen Zefri, 3, yang menghidap masalah buah pinggang kecil; dan Mohamad Solihin Kamarudin, 31 bulan (sindrom down, masalah pertuturan dan penglihatan). Menurut ibu Amalina Sofia, Nur Izzati Ahmad Masbor, 24, anaknya itu perlu menjalani rawatan susulan dan pemeriksaan berkala di hospital berikutan masalah jantung serta risiko jangkitan paru-paru. "Kalau saya bekerja, kakak saya yang akan jaga anak sebab kalau hantar ke pusat jagaan kanak-kanak agak tidak sesuai disebabkan keadaan Amalina yang agak sensitif dari segi penjagaan. "Terima kasih kepada semua yang datang hari ini dan berikan sumbangan, ia amat bermakna untuk kami sekeluarga," kata Nur Izzati yang bekerja sebagai kerani di jabatan kerajaan dan suaminya, Sudirmi Mohamad Tarmidi, 25, bertugas sebagai Pembantu Am.


32 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page