top of page
muinsapidin

Pertembungan penyokong Merah-Bersih di Teluk Intan terkawal

TELUK INTAN: Pertembungan antara penyokong kumpulan Baju Merah dan Bersih ketika perhimpunan di perkarangan Menara Condong, Teluk Intan berakhir dalam keadaan aman dengan tiada insiden tidak diingini tercetus.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak Supt Yahaya Hassan berkata hanya insiden kecil melibatkan kelakuan tolak menolak berlaku ketika kumpulan penyokong terbabit bertemu.

Menurutnya, polis sudahpun mengenalpasti beberapa individu yang memulakan provokasi tersebut dan akan mengambil tindakan.

"Secara keseluruhan keadaan terkawal dan tiada insiden tumbuk menumbuk seperti yang dihebohkan orang ramai.

"Kita juga minta wakil yang terlibat agar membuat laporan polis membantu dan memudahkan siasatan kita," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada petang Sabtu.

Terdahulu, sekumpulan 200 penyokong baju merah yang diketuai Pengerusi Badan (NGO) Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos telah berhimpun di perkarangan pejabat Parti Amanah Negara Cawangan Teluk Intan bagi menghalang peserta Konvoi Bersih 5 daripada menghampiri kawasan pasar malam.

Yahaya berkata hampir 100 anggota polis dikerahkan termasuk Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) ke lokasi perhimpunan bagi mengawal keadaan supaya tidak berlaku sebarang insiden tidak diingini.

"Mengikut maklumat awal, kumpulan baju kuning ini nak masuk ke pasar malam bagi mengedarkan risalah kepada orang ramai tetapi kita tidak benarkan atas faktor keselamatan," katanya lagi.

Malah, beliau turut menambah bahawa pihaknya juga berjaya mengawal kesesakan di bandar Teluk Intan ini berikutan terdapat pasar malam berdekatan Menara Condong Teluk Intan.

Kesemua penyokong bersurai hampir pukul 6 petang.


94 views0 comments
bottom of page