KUALA KANGSAR: Barisan Nasional (BN) Perak akan membuat bantahan berhubung persempadanan semula yang dikemukakan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, ini kerana kawasan-kawasan yang dikemukakan turut memberi impak kepada kepada kedudukan kawasan sedia ada. Dr Zambry berkata, persempadanan semula itu melibatkan 17 kawasan Parlimen dan 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Perak. "Kita telah mengenalpasti begitu banyak sekali kawasan-kawasan yang dipindahkan dan melibatkan ribuan pengundi yang sebelum ini berada dalam kawasan Parlimen dan DUN-DUN tertentu. "Kami dapati mereka terpaksa berada ditempat yang jauh untuk pergi mengundi berbanding selama ini mereka berada di kawasan yang dekat.’’ Katanya, Dr Zambry yang juga Pengerusi BN Perak berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2016 di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar pada Sabtu. Hadir sama Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Mohamad Kamil Dato’ Shafie.
Dr Zambry turut menyangkal dakwaan pembangkang kononnya BN bermain `sandiwara’ kerana membuat perbincangan awal dengan SPR berhubung persempadanan semula itu.
Beliau menjelaskan bahawa isu persempadanan semula ini bukan hanya digambarkan seolah-olah ia merupakan masalah yang dihadapi pembangkang tetapi urusan yang dibuat oleh SPR ini sebenarnya menyentuh semua.
"Kita diperingkat BN sendiri akan membuat bantahan kepada pihak SPR berhubung persempadanan semula ini. "Jadi adalah tidak ada adil untuk hanya semata-mata mengatakan ini adalah masalah pembangkang," katanya. Menurut Dr Zambry, berlainan dengan pembangkang BN tidak mengambil pendekatan terus melemparkan tuduhan-tuduhan berhubung isu persempadanan semula ini dengan harapan dapat mengelirukan rakyat.