IPOH: Prihatin dengan anak yatim yang bakal mengambil peperiksaan PT3 dan SPM, Persatuan Sukarelawan Belia Amanjaya (Sukarelawan Amanjaya) menganjurkan program motivasi bersama anak-anak yatim dan miskin Pertubuhan Baitul Ain, Simpang Pulai dekat.
Program yang diadakan pada Sabtu itu dijayakan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Perak, Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) Perak dan Parlimen Belia Malaysia.
Pengerusi Sukarelawan Amanjaya, Al-Yashir Yahya berkata, program itu antara lain bertujuan memberi semangat kepada anak-anak yatim dan miskin untuk menghadapi peperikasaan awam yang semakin hampir.
Di samping itu, kata beliau, program itu juga bertujuan merapatkan golongan belia di negeri ini dengan rumah anak-anak yatim dan miskin di samping mengenalpasti rumah-rumah kebajikan yang memerlukan bantuan.
“Tahun ini kami fokus kepada rumah anak yatim selepas kejayaan program membantu gelandangan tahun lalu dan tahun hadapan kami bercadang untuk memberi tumpuan kepada rumah orang-orang tua,” katanya kepada Suara Perak pada majlis itu.
Penutup program disempurnakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gopeng, Mohamad Adli Tahiruddin. Turut hadir Timbalan Pengarah JBS Perak, Mozakir Buyong Mokhtar dan wakil Pertubuhan Baitul Ain, Mohd Al-Hafiz Mohd Al-Bakri,
Mohd Al-Hafiz di dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada NGO yang terlibat di dalam program itu dan berharap ia dapat diadakan lebih kerap bagi memberi motivasi kepada anak-anak yatim dan miskin.
Mozakir pula berkata, JBS Perak sangat menggalakkan program seumpama itu dan akan memberi sokongan sebaik mungkin bagi menjayakan program-program yang dapat membantu golongan remaja dan belia.
Sementara itu, Mohamad Adli berharap peserta program akan menggunakan segala ilmu yang diperolehi untuk dijadikan sebagi panduan di dalam memajukan diri di masa akan datang.
“Pendidikan adalah kunci kepada kejayaan masa depan, oleh itu majukan diri di dalam pelajaran untuk menjamin masa depan yang lebih baik dan cemerlang,” kata beliau.
Di majlis itu, Mohamad Adli turut menyerahkan sumbangan beg kepada 23 anak yatim dan miskin daripada Pertubuhan Baitul Ain.