IPOH: Percambahan idea dalam mendepani cabaran ekonomi yang tidak stabil pada hari ini tidak hanya terletak pada kerajaan negeri, sebaliknya usaha berterusan di antara semua pemain industri dan agensi kerajaan di seluruh negeri Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, usaha berterusan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Negeri Perak (PCCCI) contohnya, bersama-bersama kerajaan negeri, berjaya meletakkan Perak antara penggerak utama sektor perindustrian.
Menurut Dr Zambry, melihat kepada perkembangan positif daripada pihak swasta dan pemain industri itu, beliau telah melancarkan satu inisiatif pembangunan - "Brand Perak" sebagai satu penjenamaan holistik negeri ini dalam bidang perindustrian.
"Saya telah meminta pusat pemikiran intelek negeri kita iaitu Institut Darul Ridzuan (IDR) untuk memikirkan kaedah dan penyelidikan untuk mencipta satu jenama khusus yang dapat memperkenalkan baik pemain industri, mahupun individu yang terlibat dalam kerajaan negeri di peringkat global pada satu hari nanti.
" Saya berharap semua ini akan menjadi kenyataan seiring dengan Tahun Melawat Perak 2017 agar ia menjadi satu platform untuk sekali lagi bersama menaikkan Perak dalam semua sektor, selaras dengan aspirasi kita untuk membangunkan negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-109 PCCCI di Dewan Ballroom, Weil Hotel di sini pada malam Jumaat.
Menurut Dr Zambry, adalah menjadi harapannya untuk melihat PCCCI dan semua agensi swasta berganding bahu dan menjayakan impian berkenaan dengan mengenalpasti potensi dan ruang yang masih boleh dikembangkan di negeri Perak untuk dilaksanakan secara berperingkat.
Tambahnya, di sebalik cabaran ekonomi dan perbelanjaan sara hidup yang memaksa pemain industri untuk mengurangkan kos dengan sebaiknya, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menjana idea bagi keselesaan generasi masa hadapan.
"Kita mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk memikirkan apakah idea terbaik untuk Perak agar ianya menjadi satu pelaburan, selain memberikan ruang bagi pembangunan pendidikan dan kemahiran generasi muda.
"Sekiranya kita ingin menjemput syarikat gergasi berkualiti global ke negeri ini, maka perkara pertama adalah kita perlu menyediakan sumber pekerja tempaan yang berbakat, berkemahiran yang boleh bersaing di pentas dunia," ujarnya.
Dr Zambry melahirkan keyakinan dengan peranan semua lapisan masyarakat di Perak untuk bersama-sama memajukan negeri ini, di sebalik semua kesulitan ekonomi yang berlaku di Malaysia.
"Saya tahu, dalam setiap diri kita, pastinya ada idea dan pandangan yang boleh menjadikan Perak lebih baik, sekiranya kita boleh mengasah potensi setiap daripada kita di negeri ini, tiada siapa yang boleh menghalang kita," katanya lagi.