top of page
muinsapidin

Hotel, Restoran Perlu Haramkan Menu Sup Sirip Ikan Yu

MANJUNG: Kempen pengharaman sajian sup sirip ikan yu atau shark fin soup di negara ini tidak akan berjaya sekiranya tiada komitmen tinggi daripada pengusaha hotel dan restoran.

Pengarah Perikanan Perak, Dr Bah Piyan Tan berkata pengusaha hotel dan restoran perlu mengambil langkah mengeluarkan sup sirip ikan yu daripada menunya sekiranya mereka serius ingin menyumbang kepada kejayaan kempen yang dilancarkan sejak 21 November 2014.

Katanya kejayaan kempen itu di negara ini perlu bagi membuktikan keprihatinan Malaysia terhadap kempen mengharamkan aktiviti pembunuhan ikan yu bagi siripnya.

“Kita perlu membuktikannya dan salah satu cara adalah merealisasikan kejayaan kempen ini seterusnya memastikan sumber ikan yu di perairan laut negara terus lestari,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui di majlis pelancaran kempen ‘Tak Nak Sirip Ikan Yu’ oleh Ketua Sumber Marin, Pengurusan dan Konservasi Jabatan Perikanan Malaysia, Mohd Noor Noordin di perkarangan AEON Mall Seri Manjung, petang Sabtu.

Perak dipilih menjadi negeri pertama di Semenanjung Malaysia bagi pelancaran kempen itu selepas perasmiannya di Miri pada Ogos lepas.

Dr. Bah berkata pendaratan ikan yu di Perak agak rendah iaitu sekitar 2,114 tan metrik setahun sepanjang tahun 2015 dengan 15 spesies dikenalpasti.

Bagi tahun ini, pendaratan ikan yu direkodkan berjumlah 690 metrik tan, mewakili 20 peratus daripada keseluruhan pendaratan ikan di negeri yang berjumlah 253,000 tan.

Sementara itu, Mohd Noor berkata advokasi pendidikan awal bagi mengenai kesedaran risiko perbuatan "shark-finning" merupakan pendekatan paling efektif untuk mengekang aktiviti perikanan haram itu secara menyeluruh.

Beliau berkata kaedah terbaik dalam meningkatkan kesedaran itu adalah dengan mendedahkan impak negatif perbuatan mengambil sirip ikan yu secara tidak terkawal.

Katanya, ramai yang masih tidak mengendahkan risiko pengambilan sirip ikan yu tanpa kawalan yang akhirnya merosakkan kemampanan biodiversiti marin di seluruh dunia satu hati nanti.

"Keseluruhan proses mengambil sirip ikan yu ini merosakkan keseimbangan ekologi marin kerana di Malaysia, atau seluruh rantau Asia Tenggara tidak ada sebarang kaedah mengambil sirip ikan yu,atau menangkap ikan yu dalam teknik yang terkawal.

"Justeru,kerajaan Malaysia bertegas agar Pelan Konservasi dan Pengurusan Ikan Yu Kebangsaan-Peringkat Dua diteruskan dan ianya bermula dengan pendidikan dan kesedaran di peringkat kanak-kanak lagi,"katanya.

Jelasnya, teknik hukuman dan melarang aktiviti memancing semua jenis ikan yu di Malaysia bukanlah cara terbaik untuk menyelesaikan perkara berkenaan kerana masih terdapat pelbagai penyelidikan dan pengumpulan data perlu dilaksanakan.

Menurut beliau, dengan pendidikan yang konsisten maka masyarakat akan mula berhenti membeli dan memakan sup sirip ikan yu seterusnya melumpuhkan seluruh rantaian "supply-demand" di antara pembeli dan pembekal.

Strategi tersebut, menurut Mohd Noor adalah yang terbaik dalam memerangi aktiviti pengambilan ikan yu di Malaysia secara awal walaupun aktiviti shark finning tidak berlaku di negara ini.


63 views0 comments
bottom of page