top of page
muinsapidin

PBT Diminta Bantu TASKA

IPOH: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak mengenakan bayaran lesen yang tinggi terhadap taman asuhan kanak-kanak (Taska) yang turut terkesan dengan perintah gaji minimum.

Timbalan Menterinya, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, kebanyakan pengusaha Taska itu tidak mengenakan yuran yang mahal, tetapi lebih kepada khidmat kemasyarakatan.

Menurut beliau, perintah gaji minimum RM1,000 untuk Semenanjung Malaysia dan RM920 untuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang dikuatkuasakan Julai lalu telah menyebabkan terdapat pengusaha Taska terpaksa gulung tikar.

“Kami ingin cadangkan kepada pihak PBT dan juga kerajaan negeri, iaitu kita anggap perkhidmatan Taska ini sebagai perkhidmatan komuniti dan bukannya sebagai perniagaan.

“Maka dengan itu, boleh kita turunkan bayaran lesen ke atas pengusaha-pengusaha Taska ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Kolaborasi Kebangsaan ke – 18 Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) di Hotel Casuarina@Meru dekat sini pada Jumaat.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Intergrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Presiden PPB, Datin P.H Wong.

Mei Fun turut menyeru pihak PBT supaya turut mengambil kira keperluan Taska semasa mereka membuat cadangan atau perancangan pembangunan yang baharu.

Beliau berharap pejabat-pejabat kerajaan dan syarikat swasta juga mengadakan Taska di tempat masing-masing bagi bersama-sama membantu meningkatkan peranan wanita dalam pasaran kerja di negara ini.

Menurutnya, sehingga 2015, peratusan wanita di dalam pasaran buruh negara hanya sekitar 54 peratus dan kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kepada 59 peratus menjelang 2020.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sehingga Ogos 2016, terdapat 4,261 Taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk 344 buah di negeri Perak.


44 views0 comments
bottom of page