Penduduk empat buah kampung di Ipoh merayu pihak berwajib menyegerakan kerja kerja membaik pulih jambatan rosak yang menghubungkan Kampung Seri Kelebang ke Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) di Chepor dengan.
Jambatan sepanjang 20 meter yang menghubungkan lebih 2,000 penduduk Kampung Seri Kelebang, RPT Chepor, Kampung Chepor Dalam dan Desa Sri Chepor mendatangkan bahaya kepada pengguna berikutan berlaku renganggan besar di tengah-tengahnya.
Wakil jurucakap penduduk, Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin berkata renganggan yang bersaiz tayar motosikal itu telah menyebabkan banyak kemalangan berlaku terutama di waktu malam.
Katanya renggangan itu serius kerana tayar motosikal boleh masuk dan tersekat di antaranya menyebabkan penunggang terjatuh dan berlaku kemalangan.
“Jambatan itu mula menampakkan renggang sejak lima lalu dan size renggangan menjadi semakin besar tahun demi tahun. Sehingga kini lebih lebih 50 kemalangan terutama melibatkan penunggang motosikal telah berlaku.
“Disebabkan rengangan yang semakin membesar, tayar motor boleh masuk dan tersangkut dan menyebabkan penunggangnya jatuh.
“Lebih teruk lagi jambatan ini gelap kerana tiada lampu jalan. Kami sentiasa rasa bimbang setiap kali menggunakan jambatan ini terutama waktu malam. Tapi kami tidak punya pilihan kerana ini satu-satunya jalan pintas untuk menghubungkan semua kampung berdekatan,” katanya ketika ditemui Suara Perak.
Beliau ditemui ketika mengetuai lebih 100 penduduk kampung membuat perhimpunan aman membawa sepanduk merayu pihak berkuasa melakukan sesuatu ke atas jambatan yang menjadi jalan penghubung utama bagi penduduk empat kampung itu.
Ahmad Shafiq berkata penduduk mengambil keputusan membuat perhimpunan aman setelah permohonan mereka kepada pelbagai pihak untuk membaiki jambatan itu tidak mendapat perhatian.
“Kami merayu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera kerana ini soal keselamatan. Janganlah tunggu sehingga masalah ini menyebabkan ada kemalangan jiwa di kalangan penduduk di sini,” katanya.
“Kita faham mungkin tiada peruntukan dan sebagainya tetapi pihak berwajib perlu memikirkan cara untuk membaiki jambatan buat sementara waktu supaya keselamatan penduduk terjamin,” rayunya.