LUMUT: Individu yang menghantar surat palsu menggunakan kepala surat pejabat Menteri Besar kononnya mengisytiharkan pelantikan individu tertentu sebagai Sultan Perak akan bekerjasama untuk mendedahkan dalang sebenar yang membuat surat berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau dimaklumkan bahawa individu berkenaan telah menyatakan kesediaannya untuk mendedahkan siapa sebenarnya yang membuat surat itu.
“Kalau individu itu memberikan kerjasama, maka saya fikir tidak menjadi kesukaran untuk kita mengenalpasti siapa puncanya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penyampaian Hakmilik kepada 121 penerima dalam Mukim Lekir di Dewan Orang Ramai Batu 14, Lekir pada Jumaat.
Pada Rabu, Dr Zambry mendedahkan percubaan pihak tidak bertanggungjawab mengedarkan surat palsu kononnya beliau telah membuat pengisytiharan bahawa Sultan Badaruddin Alang Diwakis sebagai Sultan Perak Yang Ke-36.
Menurut Dr Zambry, surat palsu itu yang menggunakan kepala surat Pejabat Menteri Besar, tidak diketahui dari mana puncanya, telah diserahkan kepada beliau oleh seorang kakitangan pejabat Menteri Besar pagi Rabu.
Sehubungan itu beliau telah mengarahkan supaya satu laporan polis dibuat berhubung perkara itu.
Dr Zambry melahirkan rasa kecewa kerana ia merupakan satu lagi kes pemalsuan menggunakan kepala surat pejabat Menteri Besar yang cuba mencemarkan imej pejabat Menteri Besar Perak.