IPOH: Seorang bapa berasa kesal dan mendakwa pihak polis telah memukul anaknya sehingga cedera di beberapa bahagian badan ketika sedang berada dalam tahanan lokap.
Bapa mangsa, Fauzi Muda, 56, mendakwa pihak polis juga bertindak menggunakan beberapa peralatan seperti kerusi besi, paip dan menendang anak lelaki serta rakan-rakannya yang berada di dalam tahanan.
Dakwanya,kejadian tersebut mula berlaku apabila anak lelakinya, itu ditahan di kediaman mereka pada 23 September lepas sebelum rentetan siri kejadian itu berlaku ke atas anaknya.
" Ketika melawatnya di Balai Polis Sungai Senam, anak saya memberitahu bahawa perutnya berasa amat sakit kerana ditumbuk oleh anggota polis di balai berkenaan, malah turut diperlakukan sedemikian di Balai Polis Bercham.
"Sejurus selepas itu, saya telah melakukan laporan polis dan selepas sahaja repot difailkan beberapa anggota polis telah membawa anak saya ke hospital untuk pemeriksaan badan, malah anak saya sempat diugut oleh polis untuk tidak memperbesarkan kes agar tidak menerima impak lebih teruk," katanya kepada pemberita.
Fauzi berkata, beliau berasa amat kecewa di atas tindakan polis yang seolah-olah tidak tidak menghormati etika kerja dan melakukan kezaliman ke atas seorang remaja di bawah umur.
Anaknya yang berumur 17 tahun ditahan di Balai Polis Sungai Senam selama lima hari dilepaskan pada 28 September lepas.
"Tapi, pegawai yang menyiasat kemudian memaklumkan bahawa anak saya akan direman semula atas tuduhan baru bermula pada 29 September ini.
"Saya tidak berpuas hati dengan tindakan mereka membuatkan anak saya meringkuk dalam penjara selama lima hari tanpa sebarang bukti untuk dakwaan dan kini menangkap semula untuk tuduhan lain.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan reman ke atas remaja tersebut dan dibebaskan pada Jumaat ini.
"Saya percaya, tindakan ini adalah tindakan yang berniat jahat dan rambang serta cuba menganiaya anak saya yang masih belajar dan di bawah umur, tanpa sebarang bukti sah untuk disabitkan kesalahan,"katanya lagi.
Sebelum ini, mangsa telah ditangkap oleh sekumpulan tiga pegawai dan anggota polis ketika berada di rumahnya di Taman Malar, Ulu Kinta sebelum dibawa ke Balai Polis Bercham pada Jumaat lepas (23 September).
Fauzi berkata beliau kemudiannya telah melawat mangsa di Balai Polis Sungai Senam dua hari selepas tangkapan dan menyedari terdapat kesan luka di bahagian atas bibir anaknya.
Bekas pesara polis itu juga mendakwa tindakan polis agak keterlaluan kerana tidak memberi anaknya makan selama sehari setengah dan melalukan tangkapan secara rambang tanpa usul periksa.
"Saya nak benda ini jadi pengajaran, agar orang tahu supaya ianya tidak lagi berlaku pada masa hadapan, apa yang berlaku ke atas anak saya sememangnya sesuatu yang tidak boleh diterima," katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Bercham di sini pada petang Jumaat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nor Rasid mengesahkan menerima laporan mengenai kes tersebut.
Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan terhadap laporan tohmahan itu.