top of page
muinsapidin

Agihan Tanah: Tindakan Tegas Terhadap Mereka Salahguna Kuasa

LUMUT: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyalahguna kuasa dalam pengagihan tanah kepada rakyat di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam hal ini dan mereka yang terbabit menyalahguna kuasa berhubung urusan pengagihan tanah untuk mengaut keuntungan dan kepentingan diri, akan dikenakan tindakan tegas.

Menurut Dr Zambry, pihaknya telah mengesan beberapa kes yang dilakukan sama ada sindiket atau orang-orang tertentu, yang menggunakan nama orang kampung di satu-satu kawasan berhubung urusan pengagihan tanah kepada rakyat ini.

“Kita ada membuat tangkapan berhubung kes-kes tanah yang menggunakan nama orang-orang kampung, sedangkan orang kampung berkenaan tidak tahu dalam hal ini.

“Sama ada sindiket atau orang-orang tertentu, oleh kerana dia tidak boleh menggunakan namanya sendiri ataupun dia inginkan banyak kawasan, maka dia menggunakan nama orang-orang kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penyampaian Geran Hak Milik Mukim Lekir dan Kampung Baru Air Tawar di Dewan Batu 14, Lekir pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau telah meminta pihak Pejabat Daerah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat siasatan terhadap mereka yang menyalahgunakan kuasa mengenai urusan pengagihan tanah kepada rakyat ini.

Pada majlis itu, Dr Zambry telah menyampaikan geran hak milik kepada 121 penerima yang telah menduduki kawasan berkenaan sejak 1975.


8 views0 comments
bottom of page