Perak kini menggunakan teknologi dron bagi memantau kegiatan penerokaan haram di tanah kerajaan terutamanya di kawasan yang tidak boleh diakses menggunakan kenderaan.
Drone - Gambar Hiasan
Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Negeri, Datuk Syed Mokhtar Syed Iddris berkata, 19 pejabat seluruh negeri itu akan menerima seunit dron secara berperingkat dalam masa terdekat bagi memastikan kegiatan haram itu dapat diperangi secara habis-habisan. “Tahun lalu penerokaan tanah secara haram di Perak antara yang menimbulkan masalah dan banyak merugikan kerajaan negeri, kita telah ambil banyak tindakan dan sehingga kini hampir 50 peratus kejadian penerokaan berjaya dikurangkan. “Tetapi kita nak tingkatkan lagi usaha, tingkatkan lagi kecekapan kita supaya tindakan penguatkuasaan berkaitan aktivti penerokaan haram dan bahan mineral dibawah Seksyen 425 dan 426 Kanun Tanah Negara dapat dilakukan dengan cepat dan efisien,” katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan dron oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Perak di Ipoh pada Jumaat. Syed Mokhtar memberitahu pada fasa pertama penggunaan teknologi dron itu, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM187,500 untuk membeli 15 unit dron dengan harga seunit RM12,500. “Untuk permulaan ini sebanyak 6 unit daripada 15 unit telah diserahkan kepada PTG di mana kawasannya mempunyai kegiatan penerokaan haram yang tinggi. “Antara empat kawasan yang paling tinggi di negeri ini ialah Batang Batang, Kampar, Kinta dan juga Manjung,” jelasnya. Tambah beliau, penggunaan teknologi itu juga nanti akan mengawal aktiviti pengeluaran bahan batuan atau mineral serta meningkatkan kecekapan PTG dalam menyediakan laporan tanah bergambar secara terkini dan jelas. “Ingin saya tegaskan kepada peneroka-peneroka haram ini, mereka tak boleh lari dari aktiviti haram mereka, satu hari kita akan dapat tangkap mereka,” ujarnya.