IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijangka berangkat untuk merasmikan dan memberi ucaptama Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) 2016 yang berlangsung bermula 18 Oktober ini di Hotel Casuarina@ Meru di sini.
Dengan bertemakan 'Dunia Masa Depan', persidangan anjuran Universiti Sultan Azlan Shah akan menyaksikan 17 pembentang utama dan dijangka dihadiri 400 peserta dari 15 negara.
Antara pembentang itu adalah wartawan penyiaran dari United Kingdom Lauren Booth, termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Ketua, Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin selain cendekiawan dari Amerika Syarikat, Turki, Afrika Selatan dan Indonesia.
Persidangan dwi-tahunan kali ketiga itu akan memfokuskan kepada lima subtema utama yang menyentuh masa depan pendidikan tinggi, perubahan iklim dan isu kemanusiaan, tadbir urus, ekonomi dan kewangan; media dan politik antarabangsa serta kepemimpinan generasi muda.