BAGAN SERAI: Seorang anggota tentera diberkas selepas didapati memiliki dadah pelbagai jenis dalam keretanya di kawasan parkir RnR Alor Pongsu arah Selatan Lebuhraya Utara Selatan malam Isnin.
Tangkapan dibuat sekitar 9.35 malam ketika suspek berada jenis Perodua MyVi dimana polis menjumpai dadah jenis ganja seberat 525 gram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner R. Ravi Chandran berkata turut dirampas paket lutsinar disyaki dadah jenis methampetamin atau syabu dengan anggaran berat 6.7 gram.
Katanya polis juga menjumpai lima lipatan aluminium berisi pil yang disyaki pil eramin 5 anggaran berat sebanyak 45 biji, dan kesemua rampasan dadah tersebut bernilai sekitar RM2,100.
"Suspek merupakan seorang anggota tentera telah dihantar untuk menjalankan ujian saringan air kencing dan didapati positif dadah jenis THC dan amphetamin," katanya dalam satu kenyataan media di sini pada petang Khamis.
Ravi Chandra berkata suspek akan direman selama tujuh hari bermula dari tarikh tangkapan sehingga 2 Oktober ini.
Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori gantung sampai mati.