top of page
muinsapidin

Pelajar Cemerlang Minat Bidang Seni Halus, Tolak Tawaran UTP

IPOH: Minat yang mendalam terhadap Pendidikan Seni Visual membuatkan pelajar SMK Raja Permaisuri Bainun, di sini, Yasmin Humaira Bawadi menolak tawaran menyambungkan pengajian dalam program Matrikulasi dan Kejuruteraan Kimia.

Yasmin yang dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik SPM 2015 dengan pencapaian cemerlang 10A merupakan salah seorang daripada penerima anugerah di Majlis Anugerah Kecemerlangan SMK Raja Permaisuri Bainun 2016.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis tersebut bagi menyempurnakan perasmian sekaligus menyampaikan hadiah kepada penerima anugerah.

Hadir sama, isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli, Pengarah Pendidikan Perak, Rozi Puteh Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria dan Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Yasmin yang kini berada dalam semester pertama Diploma Seni Halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar memberitahu, sebelum ini dia ditawarkan mengikuti kursus Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tronoh.

Bagaimanapun, dia memilih untuk mendalami bidang Seni Halus walaupun keluarganya tidak begitu bersetuju dengan pilihan tersebut ketika itu.

“Sebelum ini sebolehnya ayah mahu saya melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Kimia memandangkan dia juga merupakan pensyarah bidang itu di UTP.

“Tapi lama-kelamaan keluarga faham dan setuju dengan minat dan kebolehan saya menerusi seni, saya sangat cintakan seni sebab itu saya pilih bidang ini,” kata Yasmin ketika ditemui.

Menceritakan bagaimana dia berjaya mendapat 10A dalam SPM, Yasmin berkata, usahanya dilipat gandakan selepas peperiksaan percubaan SPM selain mengamalkan latihan di waktu pagi.

“Lepas dapat keputusan percubaan 7A 2B 1C, saya teruskan usaha dengan amalkan tidur seawal jam 11 malam dan bangun semula untuk ulangkaji jam 3 pagi sampai waktu Subuh dan terus ke sekolah,” kata anak sulung dari lima beradik itu.

Ditanya mengenai minatnya kepada bidang seni, dia berkata, ia ada kaitan dengan ayahnya, Bawadi Abdullah, yang sering membawa mereka sekeluarga ke Galeri Seni New South Wales, Australia suatu ketika dahulu.

“Kami sekeluarga dulu ikut ayah sambung pengajian PHD di Australia selama empat tahun, di situ kami sering lawat galeri seni, dari situ minat saya bermula untuk lebih mendalami seni,” ujarnya.

Antara anugerah yang disampaikan dalam majlis itu ialah Anugerah Cemerlang SPM 2015, Terbaik Mata Pelajaran SPM 2015, Panitia Cemerlang SPM 2015 dan Ikon Kokurikulum 2016.


811 views0 comments
bottom of page