IPOH: Polis menahan seorang mekanik motosikal setelah dipercayai merogol seorang pelajar perempuan berusia16 tahun di sebuah rumah sewa di Taman Bandar Baru Barat, Kampar pada 1 September lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Ng Kong Soon, suspek berumur 31 tahun itu ditahan polis pada 26 September kira-kira jam 6.15 petang susulan laporan polis yang dibuat pelajar berkenaan di Balai Polis Daerah Kampar.
Katanya, suspek kini telah tahan reman selama tujuh hari bermula 27 September hingga 3 Oktober ini.
Ng berkata, siasatan polis mendapati pada 1 September kira-kira jam 10.15 malam pelajar terbabit telah keluar makan bersama teman lelakinya iaitu suspek dan rakannya di kawasan Bandar Baru Barat Kampar.
Menurut beliau, selepas makan suspek mengajak pelajar itu pergi ke sebuah rumah sewa di Taman Bandar Baru Barat, Kampar berkenaan sebelum merogolnya.
Katanya, selepas kejadian itu pada kira-kira jam 12.30 malam suspek telah menghantar pelajar terbabit pulang ke rumahnya dan pengadu telah membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Kampar pada 26 September kira-kira jam 6.15 petang.
Superintenden Ng berkata, pengadu telah dihantar ke Hospital Kampar untuk rawatan pemeriksaan dan hasil siasatan suspek mengaku merogol pelajar terbabit.