IPOH: Lembaga Air Perak (LAP) sentiasa bersedia untuk berkongsi keuntungan yang diperolehi dengan kakitangannya dan juga rakyat di seluruh negeri, khususnya mereka yang berpendapatan rendah.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tanpa komitmen serta kerjasama daripada kakitangannya, tidak mungkin LAP mencapai kejayaan seperti hari ini sehingga menjadi syarikat pengurusan air terbaik negara.
Beliau memberitahu, tahun lalu sahaja LAP memberi lima bulan bonus kepada kakitangannya sehingga dicemburui oleh orang luar.
“Mereka cemburu, ada yang bertanya kepada saya, termasuk rakan-rakan saya yang pemimpin, bertanya macam mana kita buat, macam mana kita mengurus sehingga kita mampu memberi bonus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmiankan Mesyuarat Agung Persatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Air Perak kali ke – 14 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal, Pengurus Besar LAP, Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa, Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda dan Presiden Persatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Air Perak, Zainal Ismail.
Dr Zambry berkata, LAP telah berjaya melakukan transformasi industri air di negeri ini dengan pengurusan yang lebih cekap lagi.
“Pujian itu bukan untuk saya, sebaliknya pujian itu ialah untuk saudara saudari sekelian yang telah menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan memastikan supaya hasil yang baik,” ujarnya.
Beliau memberitahu, walaupun keuntangan bersih LAP tahun ini dijangka mencecah sehingga RM100 juta, namun syarikat air itu akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi prestasi dan mutu airnya.
Beliau memberi contohnya, dalam lawatan kerja ke Belanda baru-baru ini, LAP boleh mempelajari beberapa teknologi baharu daripada negara itu seperti penggunaan sumber alam semula jadi dalam proses penapisan air, tanpa menggunakan klorin.
Sementara itu, Azih di dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Perak kerana sentiasa prihatin terhadap kebajikan penjawat awam, termasuk penyediaan rumah mampu milik.
Sehubungan itu, beliau menyeru kakitangan awam di negeri ini supaya terus memberi sokongan kepada kerajaan yang sedia ada dan menterjemahkannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.