IPOH: Kerajaan akan meneruskan pemberian Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang diperkenalkan tahun lalu untuk meringankan bebanan pekebun kecil getah di seluruh negara daripada kesan kejatuhan harga getah.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata, pemberian insentif itu juga akan menggalakan pekebun kecil untuk terus menoreh walaupun harga rendah dalam pasaran.
Beliau mengakui, disebabkan kejatuhan harga getah sejak lebih setahun lalu, ramai pekebun kecil tidak lagi menoreh, di samping tidak kurang juga yang telah mengganti ladang getah mereka dengan tanaman komoditi lain.
Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan menggalakkan mereka terus mengusahakan ladang masing-masing kerana negara masih memerlukan bahan mentah daripada getah untuk keperluan industri.
“Sebenarnya kita mengimport latex daripada negara luar, daripada Thailand untuk keperluan untuk menampung keperluan industri getah kita. Kita harus tahu bahawa Malaysia adalah pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia.
“Jadi itu kita perlukan bahan mentah, khususnya kerajaan mahu supaya peladang-peladang getah kita ini akan terus mengusahakan ladang-ladang mereka dengan memberi insentif-insentif yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak kali ke – 40 di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Khamis.
Hadir sama Pengerusi PPN Perak, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan beberapa Pengerusi PPN dari seluruh negara.
Sejak Oktober tahun lalu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi tujuan bayaran IPG kepada lebih 300,000 pekebun kecil getah di seluruh negara.
Melalui IPG, pekebun kecil akan dibayar RM0.30 bagi getah sekerap di peringkat ladang dengan 50 peratus kandungan getah kering, maksimum RM0.90 bagi lateks berdasarkan peratusan kandungan getah kering dan maksimum RM0.60 setiap kilogram getah keping tanpa asap (USS) berdasarkan peratusan peratus kandungan getah kering.
Antara syarat yang ditetapkan ialah pekebun kecil haruslah warganegara Malaysia, berdaftar dengan Lembaga getah Malaysia (LGM) atau Lembaga Industri Getah Sabah atau Jabatan Pertanian Sarawak atau agensi berkaitan seperti Felda, Felcra dan Risda.