IPOH: Perak maju selangkah lagi apabila dipilih menjadi perintis kepada rangkaian pelaburan dan kerjasama perdagangan antara Hungary dan Asia Tenggara. Pengerusi Jawatankuasa Indsutri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohd Zahir Abdul Khalid berkata kerjasama itu bakal meningkatkan kualiti kerjasama dua hala di antara Hungary dan Perak yang bakal menentukan hala tuju perjalanan sistem perdagangan antara Eropah dan Asia Tenggara.
Katanya, kerjasama tersebut merupakan satu lagi usaha untuk melihat kapasiti dan potensi yang wujud di antara kerjasama kedua-dua pihak baik dalam bidang ekonomi, pelancongan dan sebagainya di Malaysia khususnya di negeri ini. "Perak amat berbangga kerana hasil lawatan kali pertama kedutaan Hungary ke negeri ini mereka sudah boleh melihat potensi dari segi pelaburan yang melimpah serta peluang pelaburan perniagaan dan kolaborasi bersama. " Secara teknikal, Perak mempunyai kebolehan, sumber dan peluang pelaburan serta jaminan pelaburan yang bertaraf antarabangsa di negeri ini justeru pemilihannya sebagai perintis kepada kerjasama di antara Eropah dan Asia Tenggara merupakan sesuatu yang amat dinantikan,"katanya kepada pemberita dalam sidang media di Conference Room, Weil Hotel di sini pada Khamis. Jelasnya, Hungary merupakan satu empayar yang terbina sekian lama dan merupakan sebahagian daripada Kesatuan Eropah dengan kepadatan penduduk seramai 10 juta. Bagaimanapun, Zahir menyatakan bahawa Hungary mempunyai kos pelaburan bisnes dan kos sara hidup yang lebih rendah berikutan pentadbiran polisi yang sistematik dan mengutamakan pembangunan sosial rakyat. Tambah beliau, sepanjang tahun 2015, kadar tukaran perdagangan antara Malaysia dan Hungary mencatatkan nilai lebih RM1.3 million dan terus menunjukkan peningkatan sebanyak 18 peratus sehingga Disember tahun lepas. Selain itu, Zahir turut menjelaskan bahawa nilai tukaran di antara kedua negara dalam tempoh Januari hingga Jun ini mencatatkan RM994.5 million kedua-duanya dalam nilai eksport dan import. Duta Republik Hungary, Mr Atilia Kali berkata peluang untuk bekerjasama dengan negeri Perak telah dinantikan sekian lama dan ini merupakan permulaan yang cukup bernas bagi kedua-dua pihak. Katanya, negaranya telah cuba untuk menembusi pasaran perniagaan dan pelaburan di peringkat Eropah dan juga Amerika Syarikat dan kini telah tiba masanya untuk berkolaborasi dengan pasaran Asia. " Kita melihat bahawa terdapat peluang yang cerah untuk membina platform keusahawanan di negeri Perak dan kami kini sedang meneroka industri yang boleh dikembangkan dan dimajukan bersama Hungary secara seiring. " Ramai orang menyangka bahawa kami hanya mensasarkan rakan kongsi usahawan yang popular dan maju namun misi utama kami adalah untuk mencari peluang dalam Industri Keusahawanan Sederhana ( IKS) di luar pasaran konvensional," katanya.
Beliau sambil menambah bahawa Perak mempunyai pelbagai sektor dan kawasan yang boleh dimajukan secara dua hala dan secara konkrit. Katanya, Hungary mempunyai pengalaman meluas dan pengiktirafan untuk sistem penapisan air bertaraf dunia dan Perak pula mempunyai sistem pertanian secara sistematik dan pemerkasaan keusahawanan sosial dan idea-idea tersebut wajar dikongsi bersama. " Saya amat optimistik bahawa terdapat peluang cerah untuk kerjasama yang holistik antara Hungary dan Perak serta mampu mengukuhkan hubungan dua hala,"ujarnya lagi.