TAPAH: Seorang wanita warga emas ditemui mati dipercayai akibat ditetak oleh anak lelakinya sendiri di rumahnya di Kampung Baru Air Kuning dekat sini, pada malam Selasa.
Gambar Hiasan
Dalam kejadian kira-kira 7.20 malam, anak sulung mangsa yang baru pulang dari Kuala Lumpur ternampak ibunya, Low Kew @ Low Lin Kiew, 74, dalam keadaan berlumuran darah dan meminta bantuan jiran untuk menelefon pihak polis. Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Som Sak Din Keliaw berkata, lelaki berkenaan melihat adiknya tergesa-gesa cuba keluar dari kawasan rumah dengan keadaan pakaian mempunyai kesan darah. "Anak sulung mangsa terus menahan suspek dan melaporkannya kepada pihak polis," katanya ketika dihubungi pada Rabu. Som Sak berkata, setibanya polis di lokasi kejadian, mangsa yang juga lumpuh, terlantar atas kerusi malas di bahagian dapur dengan kesan tetakan di leher serta muka dan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan. Menurut beliau, hasil pemeriksaan di dalam rumah itu mendapati terdapat kesan darah di lantai dan kerusi serta percikan di dinding dan peti sejuk berdekatan mangsa. "Terdapat sebilah pisau pemotong daging dan sebilah pisau kecil yang patah dan mempunyai kesan darah di tepi mangsa," katanya sambil memberitahu bahawa pakaian suspek dan senjata turut dirampas. Som Sak berkata, menurut abang sulung, sejak dua hari lalu, mangsa dan suspek sendiri ada menalifonnya, meminta supaya suspek dihantar untuk mendapatkan rawatan kerana suka bercakap bukan-bukan.
Katanya, suspek berumur 55 tahun, masih bujang dan bekerja sebagai pekebun sawit disyaki penagih dadah dan di dalam pengaruh dadah pada masa kejadian.
Beliau berkata, mangsa yang mempunyai empat orang anak tinggal berdua bersama suspek selepas tiga yang lain tinggal di Kuala Lumpur. "Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya.